Cari @ Amanz

Acer ialah sebuah jenama komputer yang cukup terkenal untuk peranti-peranti mereka, tidak kira komputer desktop ataupun komputer riba untuk produktiviti ataupun gaming. Bergantung kepada keperluan anda, mereka mempunyai sebuah peranti yang akan memenuhi keperluan anda pada pelbagai tahap kemampuan.

Hari ini di acara Next Pinnacle, Acer Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk tiga model komputer riba produktiviti, termasuklah Acer TravelMate P214, Acer TravelMate P614 dan Acer TravelMate X314.

Acer TravelMate P214

Bermula dengan Acer TravelMate P214, model ini dipasarkan sebagai sebuah siri komputer produktiviti pejabat yang hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa.

Hadir dengan pilihan paparan 14 dan 15.6 inci. komputer riba TravelMate P214 ini juga mempunyai pilihan CPU Intel Core i3 dan Core i5 generasi kelapan, memori DDR4 sebanyak 4GB dan juga storan SSD.

Dengan rekaan senipis 20mm dan berat 1.6kg sahaja, TravelMate P214 ini turut dilengkapi dengan pembaca DVD terbina didalamnya, cukup sesuai sekali untuk pejabat-pejabat yang masih menggunakan cakera padat dan DVD untuk menyimpan data.

Dengan satu pengecasan penuh, ia juga mempunyai daya ketahanan bateri selama 14 jam, dan ini membuatkannya sebuah peranti yang sesuai juga untuk dibawa kemana-mana, dan meningkatkan produktiviti anda.

Komputer riba Acer TravelMate P214 ini sudahpun tiba di pasaran tempatan, dan boleh dibeli dari harga bermula RM2599 sehinggalah RM3044.

Acer TravelMate P614

Acer TravelMate P614 merupakan komputer riba yang paling ringan diantara semua model-model yang dilancarkan pada hari ini. Dengan paparan Full HD hampir nirbingkai pada saiz 14 inci, ia juga dikuasakan oleh CPU Intel Core i7 generasi kesembilan, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD NVMe sebesar 512GB.

Dengan ketebalan 16mm dan berat 1.1kg sahaja, paparan komputer riba ini boleh dibuka sejauh 180 darjah dan mempunyai sokongan gamut warna sRGB sebanyak 72 peratus, dan sudut penglihatan dari pelbagai arah sebanyak 170 darjah.

Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan sokongan dua palam Thunderbolt 3.0 yang mempunyai kelajuan penghantaran data 40Gbps dan juga sokongan untuk paparan beresolusi 8K.

Dengan daya ketahanan bateri selama 20 jam, computer TravelMate P614 ini juga boleh digunakan untuk melakukan pelbagai tugasan produktiviti di luar pejabat, seperti di tempat klien ataupun sebagainya.

Dijual pada harga RM5699, Acer TravelMate P614 ini akan mula dijual di pasaran tempatan pada suku ketiga tahun ini di kedai atas talian Acer Malaysia dan juga kedai-kedai pengedar yang disahkan.

Acer TravelMate X314

Acer TravelMate X314 ialah sebuah peranti yang sesuai untuk mereka yang sedikit paranoid mengenai keselamatan peranti mereka. Dikuasakan oleh CPU Intel Core i5 generasi kelapan, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD NVMe sebesar 256GB.

Melalui sistem sekuriti Windows Hello, pengguna boleh melog masuk kedalam komputer riba ini menggunakan pengimbas cap jari yang terbina pada butang kuasa ataupun webcam yang hadir dengan ciri infra merah.

Dengan bateri yang boleh bertahan sehingga 15 jam, ketebalan 16mm dan berat 1.6kg sahaja, TravelMate X314 ini adalah laptop yang paling sesuai sekali digunakan oleh pengguna untuk menyiapkan tugasan dimana-mana sahaja, walaupun di luar pejabat.

Sama seperti Acer TravelMate P614, komputer riba Acer TravelMate X314 ini akan mula dijual pada suku ketiga tahun ini, dan akan dijual pada harga RM3899.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd