Realme 3 sedia menawarkan kebolehan HyperBoost 2.0 yang membolehkan peranti melancarkan lagi prestasi permainan. Fungsi ini pada awalnya hanya didatangkan untuk Realme 3 dan Realme 3 Pro, namun dijangka akan diperkenalkan kepada lebih banyak lagi peranti Realme.
Perkara ini disahkan melalui CEO Realme sendiri yang mengatakan ia akan hadir pada tiga peranti, iaitu Realme 1, Realme 2 Pro, dan Realme U1. Untuk pasaran Malaysia, hanya Realme 2 Pro sahaja yang ditawarkan secara rasmi di sini pada harga jualan bermula RM649.
Melalui Hyperboost 2.0, ia membolehkan pengguna mendapatkan prestasi permainan yang lebih pantas, disamping dapat mengoptimasikan penggunaan bateri. Ia turut menyertakan Touch Boost dan Frame Boost, dalam membolehkan peranti memberi tindak balas sesentuh (touch response) dan kadar bingkai (frame rate) yang lebih baik ketika di dalam permainan.
Selain menawarkan prestasi permainan yang lebih lancar, HyperBoost juga dapat menggabungkan sambungan data dan WiFi untuk mengurangkan kadar pendam masa (latency). Ia juga dapat menyorokkan notifikasi yang hadir secara seketika dalam memastikan permainan dapat dimainkan tanpa gangguan.
Fungsi ini bakal ditawarkan kepada peranti Realme terpilih melalui perkenalan kemaskini ColorOS 6 berasaskan Android 9.0 Pie. Kemaskini ini dijangka akan hadir secara berperingkat apabila ia mula diedarkan bermula bulan Jun ini.