Realme Malaysia hari ini telah berkongsi, mengatakan mereka akan melancarkan Realme 3 Pro secara rasminya untuk pasaran Malaysia pada 14 Mei kelak.
Realme 3 Pro merupakan telefon pintar mercu dibawah keluarga Realme 3, hadir dengan skrin bertakuk kecil 6.3-inci, dijana cip Snapdragon 710, memori sehingga 6GB RAM, dan storan sehingga 128GB. Ia turut disertakan dengan bateri 4045mAh.
Untuk rakaman gambar pula, ia hadir menyertakan kamera belakang 16MP + 5MP, selain kamera hadapan 25-megapixel. Menariknya, Realme turut menyediakan beberapa mod rakaman menarik, termasuk rakaman video gerak perlahan 960fps, serta rakaman gambar Ultra HD 64-megapixel.
Telefon pintar ini juga turut hadir dengan sokongan pengecasan VOOC 3.0.
Harga jualan dan tarikh ia akan mula dijual bakal dikongsikan oleh pihak Realme secara rasminya pada 14 Mei kelak.