Facebook Dating Kini Boleh Digunakan Di Malaysia

Facebook Dating Kini Boleh Digunakan Di Malaysia

Diterbitkan pada Mei 1, 2019 oleh .

Pada hari ini berlangsungnya acara Facebook F8 yang memfokuskan para pembangun. Jika tahun lalu mereka telahpun memperkenalkan fungsi Facebook Dating, tahun ini mereka mengumumkan kehadiran fungsi ini ke beberapa negara lain termasuklah Malaysia.

Bermula hari ini, pengguna Facebook tempatan dapat menggunakan fungsi Dating ini bagi mencari jodoh. Fungsi ini terbina secara terus, tanpa memerlukan pengguna memuat-turun aplikasi berlainan. Meskipun begitu, pengguna perlu memilih untuk mengaktifkan fungsi ini, dan ia bukanlah diaktifkan secara automatik untuk semua pengguna bagi mengelakkan kecelaruan mahupun kejanggalan berlaku seperti contoh untuk pengguna yang telah pun berkahwin.

Apabila pengguna memilih untuk mengaktifkan fungsi Dating, pengguna dapat melihat calon-calon jodoh dalam lingkungan jarak maksimum 100km. Berbeza dengan aplikasi mencari jodoh yang lain yang memerlukan kedua-dua belah pihak menyatakan minat antara satu sama lain dan barulah dipadankan (seperti Tinder yang memerlukan kedua-dua pihak ‘swipe right’), Facebook Dating mengambil cara berlainan.

Pengguna boleh melihat pengguna lain yang mempunyai profil jodoh mereka dan boleh menghantarkan mesej. Sekiranya mesej tersebut dijawab, barulah mereka akan ‘dijodohkan’ menerusi aplikasi. Dan setiap mesej yang dihantar menggunakan sistem berbeza dari Messenger. Pengguna juga boleh dijodohkan menerusi minat yang sama menerusi fungsi lain seperti Facebook Groups atau Events, sekaligus memudahkan pencarian mereka yang sekufu. Malah seperti contoh jika anda pergi ke acara perlawanan bola yang didaftarkan pada Facebook Events, anda juga boleh melihat pengguna Facebook Dating yang menghadiri acara tersebut.

Satu lagi fungsi yang hadir pada Facebook Dating adalah Secret Crush. Sekiranya anda menyimpan perasaan terhadap seseorang yang juga merupakan rakan anda di Facebook namun tidak pasti adakah perasaan tersebut berbalas, fungsi ini membolehkan anda menyenaraikan sehingga 9 orang dalam kategori tersebut.

Seandainya ‘crush’ anda turut menyenaraikan anda sebagai ‘crush’ maka anda berdua akan dijodohkan dan terpulang kepada anda untuk membina mahligai cinta yang berkekalan.

Satu lagi fungsi yang berlainan adalah fungsi ‘Second Look’. Jika aplikasi pencarian jodoh yang lain memerlukan anda membayar untuk memilih semula orang yang anda tidak berkenan (atau popular dengan terma ‘swipe left‘ pada Tinder), Second Look membolehkan anda melihat semula dan memilih jika hati anda sudah berkenan kepada mereka.

Bagi menggunakan fungsi Facebook Dating, anda hanya perlu mengemaskini aplikasi Facebook anda, dan mengaktifkannya. Hadirnya fungsi ini semestinya dapat memudahkan anda untuk mencari pasangan hidup tanpa perlu membayar sebarang harga langganan perkhidmatan mencari jodoh yang lain.


TIPS & ULASAN