Cari @ Amanz

Pihak IDC telah mengeluarkan angka anggaran pengeluaran telefon pintar pada suku pertama 2019. Huawei mengukuhkan sasaran mereka untuk menjadi pengeluar telefon pintar nombor satu dunia dengan menghasilkan 59.1 juta peranti. Ini adalah peningkatan sebanyak 50.3% berbanding suku yang sama tahun 2018. Samsung masih lagi kekal di tangga teratas dengan 71.9 juta peranti tetapi ini adalah penyusutan sebanyak -8.1% berbanding suku yang sama tahun lalu.

Apple kini di tangga ketiga dengan 36.4 juta peranti tetapi ini bersamaan dengan penyusutan mendadak 30.2% peratus. Ini diikuti oleh Xiaomi (25 juta), Vivo (23.2 juta) dan Oppo (23.1 juta). Di kalangan tiga pengeluar ini, hanya Vivo menunjukkan peningkatan sebanyak 24% berbanding tahun lalu.

Faktor harga iPhone yang mahal menyumbang kepada penurunan jualan pada suku ini. Pelbagai skim potongan harga pada iPhone XR di China dan Jepun nampaknya tidak mampu menghalang trend penyusutan jualan yang telahpun dilihat pada suku keempat 2018.

Huawei pula semakin agresif dan strategi mereka jelas menunjukkan hasil. Samsung masih di atas tetapi persoalannya ialah bilakah ia akan dipintas dan bukannya adalah mereka akan dipintas Huawei. DJ Koh, CEO produk pengguna Samsung yakin mereka akan kekal di atas dalam tempoh sedekad akan datang. Richard Yu, CEO peranti pengguna Huawei pula yakin Samsung akan dipintas selewat-lewatnya pada tahun 2020.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd