Huawei sedia menawarkan sejumlah peranti elektronik untuk pengguna, iaitu telefon pintar, tablet dan juga komputer riba. Kini, dalam terus menawarkan ekosistem peralatan elektronik menyeluruh seumpama Samsung, Huawei kini dilaporkan akan turut memasuki arena televisyen.
Melalui laporan Nikkei, Huawei dijangka memperkenalkan televisyen pertama mereka pada 2019 ini, dimana salah satu fokus utamanya kelak adalah penyertaan modul 5G secara terbina pada televisyen berkenaan.
Ia sekaligus akan memudahkan pengguna strim kandungan terus ke kaca televisyen berkenaan – termasuk menikmati paparan kandungan pada resolusi mencapai 8K.
Penawaran televisyen daripada Huawei ini juga dijangka akan menjadikan ia alternatif kepada penggunaan kotak set seperti pada hari ini untuk menikmati kandungan dari penyedia berasaskan satelit dan sebagainya.
Dengan perkembangan positif ini, semestinya ia agak menarik untuk melihat industri-industri lain yang turut bakal disertai oleh Huawei dalam tahun-tahun akan datang. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pengenalan Huawei TV pertama pada 2019 ini.