Cari @ Amanz

Kita kini sudah di bulan Mei 2019 dan pasti ramai yang masih setia dengan azam untuk menjadikan tahun ini tahun menjadi lebih sihat berbanding 2018. Kepada mereka yang masih serius ini, Garmin telah melancarkan lima jam tangan pintar dengan fungsi penjejak kesihatan terbina iaitu Garmin Forerunner 945, Forerunner 245, Forerunner 245 Music, Forerunner 45 dan Forerunner 45S.

Forerunner 945 adalah versi paling premium yang menyertakan kesemua fungsi penjejak kesihatan yang diperlukan oleh pengguna aktif. Ia kalis air dan boleh dibawa berenang. Ia turut boleh menjejak aktiviti triatlon, NFC. storan untuk muzik serta GPS terbina. Menurut Garmin 945 boleh bertahan sehingga dua minggu, 36 jam dengan GPS aktif dan 10 jam jika GPS serta pemain muzik digunakan serentak.

Forerunner 245 dan 245 Music pula adalah versi pertengahan dengan penjejak kesihatan serta renang terbina. Perbezaan antara dua model adalah 245 Music mempunyai storan untuk MP3 yang ingin didengari ketika bersenam. Ia ditawarkan hanya dalam saiz 45mm. Menurut Garmin kedua-dua jam mempunyai bateri yang boleh bertahan sehingga 7 hari, 24 jam dengan GPS aktif dan 6 jam jika GPS serta muzik dimainkan.

Akhir sekali ialah Forerunner 45 dan 45S yang dihasilkan khusus untuk atlet kelas permulaan yang hanya memerlukan fungsi penjejak larian paling asas. Terdapat sokongan GPS, penjejak nadi, mengesan larian serta berbasikal. Forerunner 45 ditawarkan dalam saiz 45mm manakala 45S dalam saiz 39mm. Dengan sekali caj kedua-dua jam boleh berfungsi selama seminggu atau 13 jam dengan GPS diaktifkan.

Harga jualan untuk Forerunner 945 bermula dari $599 (~RM 2481), Forerunner 245 Music pada harga $349 (~RM 1443), Forerunner 245 pada harga $299 (~RM 1237) , Forerunner 45S dan 45 pula pada harga bermula $200 (~RM 827).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd