Carian
Microsoft Forms – Alternatif Terbaik Google Form Dengan Kod QR Terbina
May 2, 2019 Ikhwan Nazri

Sebagai seorang pengguna tegar Google Form, saya sering menghadapi masalah untuk berkongsi pautan Google Form kerana langkah yang agak sulit termasuk jika ingin menyertakan pautan kod QR. Selain itu, rekabentuk tema yang disertakan pada Google Form agak ‘kampung’ dan bosan.

Microsoft Forms hadir memberikan persaingan kepada Google Form dengan memfokuskan kepada penggunaan soalan kajiselidik, quiz dan undian dengan lebih mudah dan cepat. Walaupun telah dilancarkan pada 2016, Microsoft Form kini diberi nafas baru dengan rekabentuk yang lebih mesra pengguna, moden dan kemas.

Semasa program Microsoft E2 di Paris, kami teruja melihat bagaimana Microsoft mempersembahkan produk Microsoft Forms kepada hadirin dengan fungsi yang lebih fokus kepada penggunaan di sekolah, universiti dan tempat kerja.

Microsoft Forms menyertakan fungsi utama iaitu membuat soalan kaji selidik, pengukuran kepuasan pengguna, dan penganjuran acara berpasukan. Soalan-soalan boleh dihasilkan melalui pelayar web dan didatangkan dengan tema yang menarik dan soalan cawangan yang lebih kemas.

Fungsi kuiz juga memfokuskan kepada pengguna sekolah dan unversiti untuk mengukur kemajuan prestasi pelajar dan membenarkan guru atau pensyarah menentukan gred secara automatik setelah kesemua soalan dihantar oleh pelajar.

Selain daripada itu, pengguna boleh menghasilkan soalan berbentuk undian kepada pelajar atau pekerja seperti untuk memilih lokasi perkhemahan atau respon kepada persembahan di dalam kelas.

Anasila yang disertakan selepas respon dihantar boleh dilihat secara masa sebenar dan pengguna boleh melihat carta dengan visual yang menarik. Yang paling penting, keputusan hasil respon boleh di eksport ke Microsoft Excel dan boleh diubah mengikut keperluan pengguna.

Microsoft Forms juga boleh menyesuaikan rekabentuk borang dengan semua jenis dan saiz skrin untuk memudahkan pembacaan dan maklum balas pengguna. Purata masa yang dijawab oleh pengguna juga boleh dilihat dengan tepat untuk rujukan guru atau pensyarah.

Antara yang paling menarik perhatian kami ialah penggunaan pautan kod QR yang terbina dan terhasil secara automatik untuk memudahkan pengguna menampal dan mendapat maklumbalas dengan lebih mudah dan cepat. Fungsi ini dapat memendekkan masa menghasilkan pautan borang tanpa perlu pergi ke pihak ketiga.

Kelemahan ketara yang ada pada Microsoft Forms berbanding Google Form pula ialah fungsi soalan dan jawapan yang terhad. Kepada pengguna yang banyak menggunakan fungsi yang pelbagai untuk menghasilkan borang dalam talian pasti akan terasa sedikit kecewa dengan Microsoft Form.

Tetapi jika anda banyak menghasilkan borang dalam talian hanya untuk kegunaan di sekolah, universiti dan perniagaan, fungsi yang ada pada Microsoft Forms sudah lebih dari mencukupi. Malah menurut Microsoft, mereka akan menambahkan lagi fungsi dalam Microsoft Form pada masa yang akan datang.

Komen