Dengan pelancaran siri CPU Intel generasi kesembilan dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX yang terbaru, pelbagai jenama pembuat laptop dilihat mengemaskini model-model peranti mereka dengan komponen-komponen baru ini.
Lenovo ialah salah satu daripada jenama-jenama tersebut, dan baru-baru ini, mereka telah mengumumkan beberapa siri komputer riba yang menerima kemaskini ini.
Lenovo Legion Y740
Komputer riba Lenovo Legion Y740 boleh dikatakan diantara peranti gaming yang paling popular oleh Lenovo kerana spesifikasinya yang cukup berkuasa.
Pengguna boleh memilih untuk mendapatkan paparan hampir nirbingkai bersaiz 15 atau 17 inci dengan resolusi Full HD dengan kadar segar semula sepantas 144Hz.
Spesifikasi dalaman komputer riba ini termasuklah pilihan siri CPU Intel generasi kesembilan sehingga model Core i7-9750H, memori DDR4 sebanyak 32GB, storan SSD dan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Max-Q ataupun NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti.
Lenovo Legion Y740 baru ini juga dilengkapi dengan Dolby Vision dan Dolby Atmos untuk kualiti paparan dan audio yang cukup mantap. Bagi mereka yang gemar mengubahsuai sistem pencahayaan RGB pada peranti-peranti mereka, komputer riba ini juga dilengkapi dengan sistem pencahayaan RGB Corsair iCue.
Lenovo Legion Y545 Dan Lenovo Legion Y7000 SE
Lenovo Legion Y545 pula ialah komputer riba gaming berspesifikasi pertengahan yang masih cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi dan tetapan yang tinggi.
Selain daripada pilihan CPU Intel generasi kesembilan, memori DDR4 dan storan SSD, pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 ataupun kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti dan GTX 1650.
Apa yang membuatkan komputer riba ini cukup menarik ialah rekaannya yang nipis dan padat. Rangka Lenovo Legion Y545 ini juga menggunakan logam aluminum yang membuatkannya lihat berkualiti dan sangat premium.
Spesifikasi dan rekaan komputer riba Lenovo Legion Y7000 SE boleh dikatakan hampir seakan-akan model Lenovo Legion Y545, tetapi mempunyai paparan skrin IPS bersaiz 15 inci dengan kadar segar semula 144Hz.
Lenovo Legion Y540
Lenovo Legion Y540 ialah sebuah lagi komputer riba gaming yang hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa. Sama seperti Lenovo Legion Y740, model ini hadir dengan paparan 15 dan 17 inci dengan resolusi Full HD.
Dilengkapi CPU Intel generasi kesembilan, pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 ataupun NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti dan GTX 1650 Ti.
Keunikan komputer riba ini hadir melalui sistem penyejukan Lenovo Legion Coldfront yang menggunakan dua kipas penyejukan untuk menyejukkan komponen-komponen dalaman.
Lenovo IdeaPad L340
Bagi mereka yang inginkan sebuah komputer riba gaming pada harga lebih mampu milik, Lenovo IdeaPad L340 mungkin cukup sesuai dengan keperluan anda.
Dikuasakan oleh siri CPU Intel generasi kesembilan, komputer riba serba nipis dan ringan ini juga dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650. Dari segi saiz paparan, ia juga mempunyai pilihan saiz 15 inci dan 17 inci pada resolusi Full HD.
Buat masa ini, pihak Lenovo Malaysia masih belum mengumumkan lagi bilakah komputer-komputer riba gaming ini akan tiba di pasaran tempatan, mahupun tanda harganya, tetapi kami akan mengemaskini butiran-butiran tersebut apabila kami menerimanya.