Cari @ Amanz

Bersempena Hari Kata Laluan Sedunia hari ini, Google hadir dengan beberapa langkah keselamatan yang menarik. Perkongsian langkah keselamatan ini bertujuan untuk melindungi dan memperkukuhkan kata laluan peribadi digital anda pada kesemua akaun media sosial. Ini adalah tiga langkah keselamatan yang perlu diikuti oleh anda:

Gunakan Kata Laluan Yang Unik

Menurut tinjauan Google ke atas isu sekuriti atas talian bersama Hariss Poll, menunjukkan hampir 65% responden menggunakan kata laluan yang sama untuk setiap akaun mereka. Ini mendedahkan mereka kepada risiko besar akaun mereka untuk digodam. Berikutan itu, Google mencadangkan pengguna untuk menggunakan kata laluan yang unik, mudah diingati dan pilihan aksara tersebut mestilah tidak terlalu panjang.

Untuk memudahkan anda mengingati atau mengubah kata laluan, bolehlah ikuti kaedah pengurus kata laluan pada pelayar Chrome ini.

Bina Pengesahan Dua Faktor (2FA) Pada Akaun Anda

Kaedah kedua pula adalah pengesahan dua-faktor (2FA), di mana cara ini dapat mengurangkan peratusan akaun anda untuk digodam. Cara ini akan membantu anda untuk menghadang sebarang pencerobohan atau akses daripada individu lain tanpa kebenaran. Kaedah ini adalah sebagai pilihan tambahan kepada keselamatan. Agak merisaukan sebanyak 31% responden tidak mengetahui akan kewujudan sistem 2FA ini.

Contoh-contoh langkah pengesahan ini adalah termasuk penerimaan mesej pesanan ringkas, penetapan kod enam-digit pada akaun aplikasi, menerima notifikasi pada peranti yang dipercayai atau penggunaan kunci keselamatan fizikal untuk pengesahan akhir. Oleh itu, anda boleh melayari pengesahan dua-faktor bagi Akaun Google dengan klik pada butang “Mulakan” bagi melihatkan proses pengesahan tersebut berlaku.

Semak Semula Security Checkup Akaun Anda

Selain itu, Google turut mencadangkan kepada anda untuk sentiasa mengemaskini dan semakan semula pada setiap kata laluan akaun anda. Menerusi pemeriksaan keselamatan Google, akan memaklumkan cara untuk membantu mengukuhkan keselamatan akaun peribadi Google anda dengan lebih baik.

Menerusi kaedah ini, ia bukan sekadar menjamin keselamatan akaun anda malah turut melindungi anda merentasi laman web dengan lebih selamat. Google turut menasihati anda untuk membuang laman-laman dan aplikasi pihak ketiga yang berisiko untuk menceroboh akaun anda.

Untuk makluman lanjut,  anda boleh layari bahagian Keselamatan Akaun Google anda untuk mengetahui peralatan-peralatan yang boleh digunakan bagi mengurus keselamatan akaun anda. Seterusnya, anda juga boleh dapatkan lebih banyak lagi langkah-langkah keselamatan pada pautan di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd