iPad 2 Kini Disenaraikan Sebagai Peranti Usang

iPad 2 Kini Disenaraikan Sebagai Peranti Usang

Diterbitkan pada Mei 2, 2019 oleh .

iPad 2 merupakan tablet generasi kedua yang dilancarkan oleh Apple pada tahun 2011. Ia telah mencapai usia melebihi 8 tahun dan kini ia telah pun disenaraikan di dalam peranti usang (obsolete).

Dengan perletakkan tablet ini di dalam peranti usang, ia tidak akan menerima sebarang sokongan dari segi perkakasan. Bermakna, pihak Apple tidak lagi menawarkan khidmat baik pulih tablet ini apabila ia mengalami kerosakan dalam segi luaran dan dalaman.

Apple juga telah menghentikan kemaskini untuk tablet ini pada Ogos 2016, dengan menjadikan iOS 9.3.5 sebagai versi akhir untuk iPad 2. Apa yang menarik, iPad 2 antara peranti iOS yang berjaya menerima 6 versi iOS berbeza – dari iOS 4 hingga ke iOS 9.

Sewaktu pelancarannya, iPad 2 telah membawa penambahbaikan yang besar berbanding iPad asal, seperti kehadiran kamera pada bahagian hadapan dan belakang. Ia juga telah didatangkan dengan rekaan yang lebih ringan, cip Apple A5, dan sokongan untuk Smart Cover.

Jadi bagi anda yang masih memiliki iPad 2, anda masih boleh terus untuk menggunakannya, namun tiada sebarang sokongan baik-pulih akan ditawarkan sekiranya peranti ini rosak. Sebagai alternatif, Apple sedia menawarkan iPad mini (2019) dengan penawaran cip Apple A12 Bionic dan sokongan Apple Pencil pada harga bermula RM1699.



Paling Popular