Cari @ Amanz

iPhone semakin jarang menjadi yang pertama memperkenalkan inovasi terkini. Kali terakhir ia dilakukan ialah dua tahun yang lalu dengan pengenalan sistem imbasan wajah 3D Face ID yang kini menjadi ikutan industri. Dengan Face ID, mereka tidak lagi menyertakan pengimbas cap jari Touch ID pada iPhone. Tetapi ini mungkin berubah jika paten yang difailkan menjadi kenyataan.

Laman Patenly Apple menemui paten sistem imbasan biometri terbina dalam skrin yang baharu. Ia bukan sahaja boleh mengimbas cap jari tetapi juga boleh mengimbas kulit muka, telinga, pipi dan telapak tangan. Secara teorinya peranti akan dapat dinyahkunci sebaik sahaja ia diletakkan pada wajah untuk menjawab panggilan telefon.

Ini bukan paten pengimbas cap jari terbina dalam skrin yang mereka patenkan. Sebelum ini sistem yang menyokong sistem Face ID dan Touch ID telah dipatenkan. Turut dipatenkan ialah pengimbas cap jari dalam skrin pada kesemua permukaan hadapan peranti. Hanya beberapa minggu lalu terdapat laporan iPhone akan menyokong pengimbas cap jari ultrasonik keluaran Qualcomm seperti sebuah Galaxy S10.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd