Tertiris: Gambar Promosi Siri Google Pixel 3a – Berharga RM1600, Ciri Seakan Pixel 3

Tertiris: Gambar Promosi Siri Google Pixel 3a – Berharga RM1600, Ciri Seakan Pixel 3

Diterbitkan pada Mei 2, 2019 oleh .

Google mengaku yang harga Pixel 3 agak mahal dan secara tidak langsung hasil jualan Pixel 3 pada suku pertama tahun 2019 adalah mengecewakan. Mengikut strategi pesaing lain, Google bakal hadir dengan peranti kelas pertengahan – Pixel 3a dan Pixel 3a XL. Namun, adakah Google akan mengulangi kesilapan yang sama dengan menjual siri peranti baru ini pada harga yang mahal?

Hujung Mac lalu, Pixel 3a dilaporkan akan dijual pada harga mencecah RM2000. Untuk sebuah peranti kelas pertengahan, ia agak mahal. Terkini, pihak Droid-life telah menemui informasi tertiris buat dua peranti baru Google ini. Beberapa imej pengolokan rasmi dan gambar promosi telah diperlihatkan. Laporan terkini memberitahu yang Pixel 3a akan dijual pada harga bermula $399 (~RM1651) dan Pixel 3a XL pula adalah $479 (~RM1982). Untuk peranti kelas ini, agak sukar jika ingin bersaing dengan pesaing lain.

This slideshow requires JavaScript.

Akan tetapi, ciri/fungsi pada peranti ini adalah mirip dengan Pixel 3. Jadi harga jualan ini mungkin berbaloi. Aplikasi kamera dikatakan adalah sama dengan mod malam Night Sight, mod bokeh, Motion Auto Focus, dan kuota storan Google Photos tanpa had akan disertakan. Selain itu, peranti turut akan menyokong kemaskini kini sistem sehingga tiga generasi Android – Android Q, Android R, Android S dan kemaskini tampalan sekuriti bulanan.

Pengecasan pantas turut akan ditawarkan dengan kemampuan penggunaan 7 jam dalam masa 15 minit pengecasan. Selain itu, sokongan Call Screen turut akan disertakan (terhad kepada negara terpilih). Pixel 3a dikatakan akan menggunakan skrin 5.6-inci dengan bateri berkapasiti 3000mAh. Manakala, Pixel 3a XL akan mempunyai skrin 6.0-inci dengan kapasiti bateri 3700mAh. Kedua-dua peranti ini akan hadir dengan Android 9.0 Pie, sokongan Active Edge (boleh dipicit), kamera utama 12.2MP, kamera swafoto 8MP dan pengimbas cap jari klasik di belakang.

Untuk memori, peranti ini dikatakan akan hadir dengan variasi permulaan 4+64 GB. Masih tidak pasti siapakah sasaran pengguna Google yang sesuai menggunakan peranti ini. Mungkin mereka yang ingin rasai pengalaman penggunaan Android asli dan GCam sebenar? Jika penjual set import membawa masuk ke Malaysia, adakah anda ingin membelinya?



TIPS & ULASAN