Oppo Reno Akan Memasuki Pasaran Malaysia Kelak

Oppo Reno Akan Memasuki Pasaran Malaysia Kelak

Diterbitkan pada Mei 3, 2019 oleh .

Oppo Reno dilancarkan di China pada pertengahan bulan April yang lalu. Ia terdiri dari sebuah peranti mercu dan sebuah peranti kelas pertengahan yang dilengkapi sistem kamera swafoto yang unik. Bagi pengguna di Malaysia, pihak Oppo Malaysia telah mengesahkan peranti ini akan memasuki pasaran Malaysia. Mereka walau bagaimanapun belu mengesahkan model yang mana akan dilancarkan dan tarikh pelancaran akan dilakukan.

Oppo Reno 10X Zoom Edition ialah model dengan spesifikasi tertinggi iaitu skrin 6.6″ AMOLED FHD+, dijana pemproses Snapdragon 855, memori 6/8GB RAM, storan 128/256 GB, kamera utama 48+13+8 Megapixel, kamera swafoto 16-Megapixel dan bateri sebesar 4065 mAh.

Sistem kamera berperiskop yang disertakan membolehkan Reno 10X Zoom Edition melakukan zum optikal nirhilang sehingga 10X. Ini meletakkannya setanding dengan sistem yang ditemui pada Huawei P30 Pro. Keunikan lain peranti ini ialah kamera swafoto melungsur dengan rekaan mekanisme yang unik. Ia menjongket sebanyak 11 darjah dalam masa 0.08 untuk mendedahkan kamera hadapan.

Oppo Reno pula dilengkapi skrin 6.4″ AMOLED FHD+, dijana cip Snapdragon 710, memori 6/8 GB RAM, storan 128/256 GB, kamera utama 48+5 Megapixel, kamera hadapan 16-Megapixel dan bateri sebesar 3765 mAh. Seperti Reno 10X Zoom Edition, kamera hadapan disorokkan di dalam mekanisme melungsur.

Kamera utama 48-Megapixel pada kedua-dua model menggunakan sensor Sony IMX586. Resolusi rakaman video tertinggi yang boleh disokong ialah 4K 60FPS pada Reno 10X Zoom Edition dan 4K 30FPS pada Reno.

Skrin hadapan kedua-dua mendominasi 93.1% permukaan hadapan peranti. Kedua-dua model juga menyokong sistem pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Pada waktu yang sama ia menyokong sistem pengecasan pantas SuperVOOC 3.0. Akhir sekali peranti menggunakan sistem operasi Android Pie dengan pelancar ColorOS 6.


TIPS & ULASAN