Cari @ Amanz

Xiaomi telah memperkenalkan Xiaomi Mi MIX 3 5G pada acara MWC 2019 dengan membawa keupayaan 5G secara terbina. Ia nampaknya telah mula dijual di pasaran antarabangsa – dengan harga CHF 847 (~RM3440) di negara Switzerland.

Xiaomi Mi MIX 3 5G membawa peningkatan spesifikasi berbanding Mi MIX 3 asal, seperti kehadiran cip Snapdragon 855 dan penggunaan modem Snapdragon X50 5G. Apa yang menarik, kapasiti baterinya juga menerima penambahbaikan, melalui kapasiti 3800 mAh berbanding 3200 mAh.

Peranti ini telah dibawa oleh syarikat telekomunikasi Sunrise yang sedia menawarkan rangkaian 5G di negara tersebut. Mereka telah mula menawarkan keupayaan 5G bermula pertengahan 2018 dan kini lebih 150 pekan dan bandar di Switzerland sudah mempunyai sokongan rangkaian ini.

Selain daripada Xiaomi Mi MIX 3 5G, syarikat telekomunikasi di sana juga telah mula membawa Huawei Mate 20 X 5G yang mana ia dijual pada harga sekitar CHF 997 (~RM4049). Peranti berkuasa OPPO Reno 5G juga telah diumumkan jualannya di sana, dengan membawa harga CHF 999 (~RM4056).

Seperti yang dikatakan sebelum ini, harga peranti 5G boleh dikatakan $200-$300 (~RM833-RM1250) lebih mahal berbanding variasi 4G buat masa ini. Selain itu, harga jualan peranti di pasaran Eropah juga adalah lebih mahal berikutan daripada cukai yang tinggi.

Dengan pengenalan peranti untuk pasaran antarabangsa, ia sekaligus membolehkan peranti ini dibeli – walaupun perlu melalui luar negara. Kesemua peranti dengan 5G ini juga bakal ditawarkan ke negara lain, apabila rangkaian 5G sedia digunakan secara meluas di sesuatu negara tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd