Apple tidak menyatakan berapakah saiz bateri yang digunakan pada iPhone yang dijual. Sebaliknya di laman mereka meletakkan anggaran hayat bateri apabila melakukan panggilan telefon. Laman Which? dari UK telah melakukan ujian ke atas 50 telefon pintar keluaran Apple, HTC, Nokia , Samsung dan Sony. Mereka mendapati terdapat telefon pintar yang mempunyai hayat bateri yang lebih pendek dari yang diiklankan.
Mereka telah menguji beberapa model iPhone di pasaran dan mendapati hayat bateri peranti apabila melakukan panggilan telefon antara 18-51% lebih pendek dari yang diiklankan. Dalam kes iPhone XR, ia mampu bertahan sehingga 25 jam tetapi dala ujian Which?, ia hanya bertahan selama 16 jam 32 minit – 51% lebih pendek dari yang diiklankan.
Peranti HTC yang diuji pula bertahan selama 19.6 jam berbanding 20.5 jam seperti yang diiklankan. Telefon pintar keluaran Nokia, Sony dan Samsung pula didapati bertahan lebih lama dari yang diiklankan. Dalam kes Sony Xperia Z5 Compact, ia bertahan selama hampir 26 jam walaupun hanya diiklankan bertahan selama 17 jam.
Pihak Apple telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan ujian. Menurut mereka melakukan ujian yang ketat ke atas peranti yang dijual sebelum mengeluarkan tempoh penggunaannya. Sistem pintar yang digunakan memastikan hayat bateri adalah semaksimum yang mungkin.
HTC pula berkata mereka melakukan ujian yang menyeluruh ke atas produk yang dihasilkan. Perbezaan tetapan dan persekitaran ujian akan mempengaruhi keputusan yang berbeza.
Sumber Which? menerusi Business Insider