Bulan lalu Netflix mengumumkan akan melakukan ujian paparan 10 kandungan paling sohor kini pada platform penstriman mereka menerusi tab Trending. Ujian ini hanya terhad kepada pengguna di UK sahaja. Semalam kami menyedari Netlix mula memaparkan kandungan popular pada skrin carian aplikasi Android.
Apabila skrin carian diakses, 42 carian yang paling popular di kalangan pengguna lain Netflix akan dipaparkan. Sebelum ini skrin tidak akan memaparkan sebarang imej selagi kotak carian tidak diisi. Kami tidak menemui paparan ini pada aplikasi iOS buat masa ini. Seperti biasa Netflix gemar melakukan ujian fungsi serta antaramuka baharu yang tidak semestinya diperkenalkan kepada semua pengguna. Kami berharap fungsi ini dikekalkan kerana memudahkan proses mencari kandungan baharu yang boleh ditonton.