Walaupun ia boleh dikatakan diantara syarikat-syarikat teknologi automotif termasyhur, ia juga sering dibelenggu masalah dimana ramai pekerja-pekerja mereka meniriskan maklumat dalaman syarikat seperti teknologi yang belum diumumkan, jumlah jualan, nombor-nombor pembiayaan dan sebagainya.
Dalam sebuah emel yang dihantar kepada semua pekerja-pekerja Tesla (yang tertiris kepada pihak CNBC), pihak pengurusan Tesla memberi amaran kepada mereka supaya tidak meniriskan sebarang maklumat dalaman mengenai syarikat tersebut kepada sesiapa pun.
Mereka yang ditangkap meniriskan maklumat akan dipecat, dan bergantung kepada tahap keterukan maklumat yang tertiris, akan menyebabkan pekerja tersebut disaman oleh Tesla.
Tesla nampaknya memandang serius mengenai isu tirisan maklumat ini kerana didalam emel tersebut, mereka mengatakan bahawa seorang pekerja telah dipecat kerana mengepos nombor telepon mesyuarat ke media sosial.
Ini mungkin kerana Tesla sedang menghadapi beberapa isu dalaman dengan para pelabur dan juga pelanggan mereka mengenai pengeluaran kereta elektrik Tesla 3, dan semua isu tirisan ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan wang pelaburan.