Ulasan Acer TravelMate X3 – Pesaing Lenovo Thinkpad Yang Mengecewakan

Ulasan Acer TravelMate X3 – Pesaing Lenovo Thinkpad Yang Mengecewakan

Diterbitkan pada Mei 14, 2019 oleh .

Ultrabook adalah sejenis komputer riba dengan rekaan yang nipis, ringkas dan lebih mudah dibawa ke mana-mana sahaja berbanding komputer riba yang biasa. Untuk Windows, ultrabook adalah pesaing kepada Apple Macbook Air. Disebabkan komputer-komputer riba Windows banyak pengeluar, jadi banyak pesaingnya – cuma yang mana satukah yang terbaik?

Pendapat saya, ultrabook yang terbaik adalah daripada Lenovo melalui siri ThinkPad. Cuma ThinkPad pada saya harga permulaannya agak mahal, jadi pesaing-pesaing mula keluarkan alternatif yang cuba menandingi ThinkPad. Acer adalah salah satu daripada pesaing tersebut. Acer telah memperkenalkan siri TravelMate X. Dalam artikel ini, akan saya ulaskan Acer TravelMate X3. Untuk ketahui sama ada komputer riba ini hebat atau tidak, baca artikel ini sehingga tamat.

Spesifikasi

Acer TravelMate X3
Skrin 13.1 inci Full HD
Pemproses Intel Core i5-8250U
RAM 8GB DDR4
Muatan Dalaman SSD 256GB
Kamera 5MP
USB USB-A 3.0 = x3, USB-C = x1
HDMI Ada
Pembaca Kad Pembaca kad SD
Kad Grafik Intel UHD Graphics 620
Harga Jualan RM3799

TravelMate X3 menggunakan skrin jenis IPS LED bersaiz 13.1-inci dengan resolusi FHD. Mengejutkan, skrin komputer riba ini agak hebat dan memuaskan. Warna yang terpapar cukup terang, butirannya cukup jelas, warnanya tajam dan sedap mata memandang. Disebabkan skrin IPS komputer riba ini berasaskan LED, ia kurang menggunakan kuasa untuk memaparkan kandungan.

Seterusnya, menggunakan komputer riba ini dalam jangka masa yang panjang sungguh selesa. Mata tidak sakit memandang skrin, walaupun ditetapkan pada kecerahan maksima. Bercakap mengenai kecerahan, menggunakan komputer riba ini di luar pejabat juga cukup baik. Cahaya matahari yang terik juga tidak mengganggu penglihatan saya menggunakan komputer riba ini.

Menguasakan TravelMate X3 ini adalah cip pemproses Intel Core i5-8250U yang dipadankan pula dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman berasaskan SSD 256GB. Apa yang mengecewakan adalah, komputer riba ini tidak mempunyai kad grafik yang hebat. Ia cuma mempunyai kad grafik terbina daripada Intel, iaitu Intel UHD Graphics 620. Ketiadaan kad grafik berkuasa pada saya adalah satu kelemahan buat sebuah ultrabook, namun lihat juga tujuan membeli adakah untuk apa – jika sekadar kerja-kerja suntingan ringkas, kerja-kerja pejabat atau penulisan, spesifikasi seperti ini sudah mencukupi.

Rekaan Dan Ciri

Jelas sekali, rekaan premium bukanlah fokus Acer terhadap TravelMate X3 ini. Lihat sahaja rekaan skrinnya dengan bingkai yang sangat tebal ibarat sebuah komputer riba yang saya gunakan 7 tahun lepas. Walaupun kualiti skrinnya terbaik, tetapi rekaan bingkai yang tebal ini adalah perkara yang menjengkelkan. Menurut Acer, fokus rekaan TravelMate X3 ini adalah untuk ketahanan. Rekaan bingkai skrin yang tebal dan rekaan keseluruhan TravelMate X3 adalah untuk melindungi komputer riba ini daripada terjatuh.

Acer turut mengatakan yang komputer riba ini turut boleh bertahan dalam hujan dan apa jua cabaran harian. TravelMate X3 turut telah menjalani ujian ketahanan gred askar Amerika Syarikat, di mana ujian-ujian yang dilakukan termasuk ujian suhu, ujian dihentak dan juga ujian gegaran. Bahan binaan komputer riba ini adalah gabungan daripada plastik dan aluminium. Sentuh sekali, bahan binaan TravelMate X3 adalah seakan ThinkPad yang premium – namun sebenarnya komputer riba ini terasa murahnya dan binaannya terasa lemah.

Secara keseluruhan, rekaan TravelMate X3 agak cantik. Pandangan dari atas kelihatan unik, pandangan sisi kelihatan biasa-biasa sahaja di mana ia tidak begitu tebal dan tidak begitu nipis. Pembesar suara yang digunakan adalah jenis stereo dan berada di bawah di bahagian hadapan. Selain itu, di bahagian bawah turut terdapat kekisi untuk komputer riba mengeluarkan haba. Terdapat juga dua panel boleh buka di bahagian bawah ini untuk kerja-kerja naik-taraf atau membaiki.

Port-port sambungan pada komputer riba ini juga agak banyak dan pada saya mencukupi untuk kegunaan kerja saya. Di sisi kiri terdapat port Kensington untuk kunci komputer riba, port LAN Gigabit Ethernet, port VGA dan HDMI, port USB-A 3.0 dan port USB-C yang mampu digunakan untuk pengecasan dan pemindahan data 5Gbps. Di sisi kanan pula terdapat port kuasa untuk pengecasan jenis bulat (barrel charger), dua lagi port USB-A 3.0, slot kad SD dan dua LED.

Papan kekunci TravelMate X3 adalah jenis chiclet dan turut mempunyai lampu backlit. Jenis papan kekunci ini agak selesa digunakan. Dari zaman kolej lagi, komputer riba saya menggunakan papan kekunci seperti ini. Travel yang baik, kesan tekan yang memuaskan dan juga sungguh selesa digunakan dalam jangka masa yang panjang.

Markah Tanda Aras

Menggunakan perisian 3DMark dan menguji menggunakan Time Spy, markah yang diterima hanya 371. Ini adalah ujian untuk Directx 12, yang mana nilai ini adalah sangat rendah dan tidak berkuasa. Ini adalah kerana ketiadaan kad grafik berkuasa.

Ujian tanda aras seterusnya adalah CrystalDiskMark. Ujian ini menguji kelajuan baca/tulis storan dalaman TravelMate X3. Tidak hebat, tetapi cukup pantas. SSD komputer riba ini mampu membaca 522.4 MB/s dan menulis 499.6 MB/s.

Pengalaman Penggunaan

Walaupun TravelMate X3 mempunyai bezel yang sangat tebal dan agak menjengkelkan jika kerap berfikir kenapa rekaannya sebegini, pengalaman menggunakan skrinnya memuaskan. Menonton video di YouTube atau Netflix cukup baik. Warna yang terpapar adalah tajam dan cukup jelas dan cantik. Cahaya yang dihasilkan oleh skrin komputer riba ini juga tidak menyakitkan mata. Tambahan lagi dengan fungsi Windows 10 yang sudah mempunyai ‘Night light‘ dan ‘Focus assist‘ untuk kegunaan yang lebih selesa dan kegunaan di waktu malam.

Prestasi TravelMate X3 juga agak hebat. Ia tidak mempunyai kad grafik, jadi saya tidak bermain sebarang permainan video. Apa yang saya lalukan untuk kerja-kerja yang menggunakan kuasa yang tinggi adalah, membuka tab Google Chrome yang banyak dan juga menjalankan Adobe Premiere Pro dan Photoshop serentak. Saya mencari inspirasi di web menggunakan Chrome, dan memulakan suntingan gambar di Photoshop. Kemudian, menggunakan Chrome saya muat turun video untuk b-roll video – saya sunting pula dengan Premiere Pro. TravelMate X3 tidak mempunyai masalah untuk menguruskan kerja-kerja yang berat seperti ini. Cuma, ia mula memanas dan kipas mula bunyi dengan sangat bising.

Pembesar suara komputer riba ini bagi saya cukup memuaskan. Tetapi tidak cukup kuat untuk menyembunyikan bunyi bising kipas. Hasil audio yang mencukupi dan aras suara maksima, hasil audio tidak pecah. Beralih kepada port-port sambungan, TravelMate X3 menggembirakan hati saya. Segala port yang saya inginkan telah hadir secara terbina. Paling menggembirakan hati saya ialah port USB-Cnya yang turut menyokong pengecasan pantas melalui pengecas USB-C.

Saya kerap membawa TravelMate X3 ini ke mana-mana sahaja. Baik di acara-acara ataupun ketika bercuti. Ia tidaklah seringan ultrabook lain, namun jisimnya mencukupi dan tidak begitu berat. Perkara paling penting dalam penggunaan sesebuah ultrabook semestinya adalah baterinya. Bateri TravelMate X3 pada saya cukup baik, Acer mengiklankan ketahanan bateri komputer riba ini sekitar 15 Jam. Namun atas penggunaan saya, ia hanya bertahan sekitar 10-13 Jam sahaja. Seperti biasa, ketahanan bateri adalah bergantung kepada cara penggunaan. Untuk mencapai lebih 10 Jam, saya hanya menikmati hiburan dan kerja-kerja ringan. Jika kerja-kerja penyuntingan, bateri hanya bertahan selama bawah 7 jam sahaja.

Konklusi

Usaha Acer untuk meniru Lenovo ThinkPad itu jelas. Akan tetapi, Acer gagal dari segi rekaan – kerana rekaan TravelMate X3 ini ketinggalan zaman. Alasan Acer adalah, rekaan sebegini adalah untuk ketahanan dan kekuatan peranti. Boleh sahaja membina ultrabook yang tahan lasak, tetapi kekal rekaan nipis. Apakah silap Acer di sini?

Bateri yang hebat, prestasi yang mencukupi, ciri dan fungsi yang memuaskan – Acer TravelMate X3 ini adalah sebuah ultrabook yang hampir sempurna. Kejayaan Acer di sini jelas adalah pada harga. Harga model permulaan TravelMate X3 adalah RM3799 sahaja, dan ia boleh dibeli di mana-mana kedai/pengedar rasmi Acer.

Adakah Acer TravelMate X3 ini berbaloi untuk dimiliki? Jika rekaan bukan satu isu, beli sahaja dan pasti akan seronok menggunakannya. Namun, jika rekaan sesebuah komputer riba itu penting – TravelMate X3 bukan untuk anda. Ada sahaja pesaing lain yang boleh tawarkan spesifikasi serupa pada harga setaraf atau jauh lebih murah.

PRO KONTRA
  • Harga yang kompetetif.
  • Skrin yang sungguh cantik dan memuaskan.
  • Pengecasan pantas melalui USB-C.
  • Kemudahan akses panel belakang untuk naik taraf.
  • Rekaan bezel yang sangat tebal.
  • RAM hanya 8GB.
  • Pembesar suara yang kurang enak.
  • Tiada sistem keselamatan seperti pengimbas cap jari (model ini sahaja)


TIPS & ULASAN