Cari @ Amanz

Bersempena dengan acara BUILD 2019, Microsoft telah mengemaskini halaman Fluent Design mereka dengan sejumlah perkara baru. Antaranya ialah rekaan ini telah diperluaskan ke luar platform Windows iaitu di web, Android, dan iOS.

Fluent Design merupakan sebuah bahasa rekaan yang diperkenalkan oleh Microsoft untuk menyajikan rekaan yang lebih moden. Ia menyajikan kemasan dalam bentuk drop shadow, kesan kabur, serta dengan sejumlah penawaran warna cerun dan mendatar.

Prinsip rekaan ini digunakan untuk penghasilan produk dan antaramuka Microsoft – bermula daripada Windows 10 dan sejumlah aplikasi terbina di dalamnya. Antara contoh aplikasi yang sedia menggunakan Fluent Design adalah seperti Calculator, Photos, dan Microsoft Edge.

Melalui kemaskini ini, Microsoft juga memperkenalkan Fabric iaitu sejumlah framework yang boleh digunakan sewaktu membangunkan aplikasi pada Android dan iOS. Framework ini menawarkan butang dan kawalan yang selari dengan Fluent Design, melalui kesan animasi yang berteraskan kepada kedalaman dan pergerakan.

Kesemua kemaskini yang berkaitan rekaan ini telah sedia ditawarkan menerusi halaman rasmi Fluent Design. Pembangun kini boleh membangunkan antaramuka web dan aplikasi dengan penyertaan sejumlah elemen moden daripada Microsoft ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd