Google Akan Mula Menawarkan Beberapa Kemaskini Android Terus Melalui Play Store

Google Akan Mula Menawarkan Beberapa Kemaskini Android Terus Melalui Play Store

Diterbitkan pada Mei 8, 2019 oleh .

Bercakap mengenai sistem operasi Android, salah satu yang sering menjadi perbualan ramai adalah berkenaan dengan kemaskini untuk peranti Android yang sering diterima lambat – salah satu sebabnya adalah disebabkan oleh beberapa pengeluar yang tidak begitu memfokuskan terhadap perkara berkenaan.

Melalui versi Android akan datang, Google dilihat akan memfokuskan kepada arena berkenaan. Google menamakan ciri baru ini sebagai Project Mainline.

Melalui Project Mainline yang bakal hadir bersama Android Q, ia bakal membolehkan Google menawarkan beberapa kemaskini — terutamanya kemaskini sekuriti — terus ke peranti Android melalui Google Play Store.

Google mengatakan sekitar 12 komponen akan dapat dikemaskini melalui Play Store, sekaligus memastikan peranti pengguna terlindung daripada sebarang masalah sekuriti serius dengan pantas, berbanding perlu menantikan kemaskini daripada pengeluar yang akan mengambil masa lama.

Langkah ini juga mungkin akan lebih digemari ramai, selain memudahkan pengguna kerana ramai telah sedia maklum dengan penggunaan Play Store.

Android Q bakal dilancarkan oleh Google dalam beberapa bulan lagi, dan ia dijangka hadir ke beberapa peranti utama menjelang penghujung 2019 ini.


TIPS & ULASAN