Google Membawa Sokongan Mod Inkognito Ke Google Maps Dan Search

Google Membawa Sokongan Mod Inkognito Ke Google Maps Dan Search

Diterbitkan pada Mei 8, 2019 oleh .

Dengan perkembangan arena internet pada hari ini, privasi menjadi fokus ramai pihak. Google dilihat turut tidak ingin ketinggalan, dan kini telah mengumumkan pengenalan mod inkognito untuk beberapa aplikasi mereka.

Seperti ramai sedia maklum, mod inkognito sedia dipopularkan penggunaannya melalui pelayar web Chrome – dimana tiada sebarang data yang dipantau ketika mod berkenaan aktif, sekaligus menawarkan lebih privasi kepada pengguna.

Google Maps Inkognito

Ciri berkenaan juga telah diperluaskan ke YouTube sebelum ini. Hari ini, pada Google I/O, Google mengumumkan pengenalan ciri yang lebih kurang sama untuk Google Maps dan juga Google Search.

Ketika mod ini diaktifkan, pelbagai aktiviti pengguna akan menjadi awanama dan tidak akan disimpan oada Google Activity. Hal ini juga mungkin akan memberikan lebih keselesaan ketika beberapa pengguna menggunakan perkhidmatan Google dan tidak ingin dipantau ketika sesuatu masa.

Google mengatakan ciri ini bakal diperkenalkan pada Google Maps dan Google Search dalam masa terdekat.


TIPS & ULASAN