Ini Antara Ciri Terbaru Yang Diperkenalkan Pada Android Q Beta 3

Ini Antara Ciri Terbaru Yang Diperkenalkan Pada Android Q Beta 3

Diterbitkan pada Mei 8, 2019 oleh .

Google telah pun menawarkan Android Q dalam bentuk beta sejak beberapa minggu lepas. Hari ini, pada acara Google I/O 2019, Google turut mengumumkan pengenalan versi beta terbaru untuk Android Q yang menyokong lebih banyak peranti daripada pelbagai pengeluar, dan pada masa yang sama menawarkan sejumlah ciri-ciri baru.

Tema Gelap Lebih Menyeluruh

Menjadi salah satu fokus utama pada Android Q Beta 3 hari ini adalah sokongan tema gelap yang lebih menyeluruh. Terkini, pelbagai aplikasi Android yang hadir terbina menyokong tema gelap, sekaligus menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih selari apabila mod tema gelap diaktifkan. Google juga menyasarkan pelbagai pengeluar lain mengintegrasikan sokongan sama pada aplikasi mereka tidak lama lagi.

Dengan penggunaan tema gelap, ia sekaligus lebih menjimatkan penggunaan bateri pada peranti pengguna – terutamanya jika peranti mereka menggunakan panel OLED.

Kapsyen Masa-Nyata

Selain daripada itu, Google turut memfokuskan kepada integrasi pembelajaran mesin terus pada peranti. Hal ini dapat dilihat melalui integrasi sokongan kapsyen masa-nyata yang akan diperkenalkan pada telefon pintar pada tahun ini, dimana pemprosesan akan dilakukan terus pada peranti dan bukan awanan.

Smart Reply

Android Q Smart Reply

Disamping itu, Google juga turut menyertakan sokongan Smart Reply pada Android Q, memudahkan anda membalas sejumlah mesej melalui cadangan balasan yang disediakan berasaskan konteks mesej diterima.

Focus Mode

Focus Mode

Akhir sekali, Google turut menyertakan penambah-baikkan kepada Digital Wellbeing dalam usaha menjadikan anda menggunakan peranti anda dengan lebih pintar dan tidak membazir masa menggunakannya. Melalui kemaskini baru, Google turut memperkenalkan “Focus Mode” – yang mana membolehkan anda menghalang sejumlah aplikasi daripada “menganggu” anda, sehingga anda menamatkan “Focus Mode” berkenaan. Hal ini sekaligus akan menjadikan anda dapat memfokuskan tugasan atau mesyuarat tanpa terganggu dengan pelbagai notifikasi.

Sekuriti dan Privasi

Google turut menekankan yang mana sekuriti dan privasi turut menjadi fokus utama sistem operasi Android. Pengguna dijangka kelak akan dapat menikmati kemaskini sekuriti terus melalui Google Play Store, selain turut boleh menikmati perlindungan berkenaan serta-merta tanpa perlu memulakan semula peranti mereka seperti pada hari ini.

Android Q Beta ditawarkan untuk sekitar 21 peranti pada hari ini. Google dijangka melancarkannya secara rasmi sekitar bulan September kelak.

Google Android Q


TIPS & ULASAN