Peratusan Penggunaan Android Pie Kini Mencapai 10.4%

Peratusan Penggunaan Android Pie Kini Mencapai 10.4%

Diterbitkan pada Mei 8, 2019 oleh .

Google telah memperkenalkan Android Pie sejak bulan Ogos 2018, namun info penggunaannya masih tidak diberikan oleh pihak Google. Kini selepas 9 bulan selepas pengenalan Android ini, Google akhirnya telah memperlihatkan statisik penggunaan Android Pie yang lebih terkini.

Statistik yang dikeluarkan ini akhirnya memperlihatkan peratusan penggunaan Android Pie yang kini sudah pun mencapai 10.4%. Peningkatan ini didorong daripada perkenalan peranti terkini yang sedia menawarkan Android Pie secara terbina.

Secara kasarnya, statistik ini masih di belakang Android Oreo yang masih antara versi Android dengan angka penggunaan yang besar. Angka daripada Android 8.0 dan Android 8.1 telah menyumbang sebanyak 28.3% untuk angka penggunaan ini.

Namun menurut Google, Android Pie telah menerima pertumbuhan yang lebih pantas berbanding Oreo apabila dibandingkan pada jangka masa yang sama. Android Oreo hanya mencapai 5.7% apabila dilihat pada statistik untuk bulan Mei 2018.

Dengan pertumbuhan penggunaan Android terkini yang lebih pantas, ia membolehkan pembangun memanfaatkan API yang lebih terkini sewaktu membangunkan aplikasi. Google juga dapat menawarkan sejumlah fungsi baru dengan lebih mudah dengan adanya jumlah penggunaan sesuatu versi Android yang besar.


TIPS & ULASAN