Sharp Aquos R3 Diperkenalkan Dengan Cip Snapdragon 855, Rekaan Dwi-Takuk, Dan Skrin 120Hz

Sharp Aquos R3 Diperkenalkan Dengan Cip Snapdragon 855, Rekaan Dwi-Takuk, Dan Skrin 120Hz

Diterbitkan pada Mei 8, 2019 oleh .

Sharp pada tahun lalu telah memperkenalkan Aquos R2 yang merupakan peranti pertama dengan rekaan dwi-takuk. Hari ini mereka telah memperkenalkan peranti penambahbaikannya menerusi perkenalan Sharp Aquos R3.

Sharp Aquos R3 membawakan paparan IGZO sebesar 6.2-inci dengan penyertaan resolusi 3120 x 1440 bersama kadar segar semula 120Hz. Ia juga menyertakan sokongan HDR10 dan mempunyai binaan bertakuk pada bahagian atas dan bawah. Apa yang menarik, rekaan takuk di bahagian bawah ini sebenarnya untuk memberi laluan kepada perletakkan sensor pengimbas cap jari.

Di dalamnya, ia dijana dengan cip Snapdragon 855, memori 6GB RAM, bersama storan 128GB. Ia juga dilihat telah membawakan keupayaan dwi-kamera 12.2MP + 20MP bersama kamera hadapan 16.3MP. Melangkapkan lagi peranti ini ialah kapasiti bateri 3200 mAh bersama sokongan pengecasan nirwayar Qi 11W.

Namun dari segi jualannya, Sharp tidak mengumumkan sebarang maklumat mengenai harga dan tarikh penjualan peranti ini. Seperti peranti Aquos R2, ia dilihat hanya ditawarkan untuk pasaran Jepun dan dijangka tidak diperluaskan ke negara lain.


TIPS & ULASAN