Carian
Samsung Melancarkan Siri TV QLED 2019 Dengan Harga Mencapai RM299,999
May 8, 2019 Aman

Samsung Malaysia hari ini telah memperkenalkan siri televisyen terbaru untuk pasaran tempatan, dengan fokus terhadap televisyen QLED 8K. Seperti ramai sedia maklum, Samsung sedia menerajui penawaran televisyen untuk pengguna, dan siri TV QLED 2019 ini meneruskan perkara berkenaan.

Menjadi fokus pada televisyen QLED 8K terbaru daripada Samsung ini adalah sokongan paparan kandungan pada resolusi 8K, sekaligus membolehkan pengguna menikmati kualiti yang lebih tinggi, pewarnaan yang jitu, selain turut dilengkapi cip pemprosesan Quantum Processor yang membantu anda menonton kandungan resolusi rendah pada kualiti 8K.

https://www.youtube.com/watch?v=Uh_QOikSlT4

Samsung turut menekankan yang mana pengguna dapat menikmati kandungan HDR10+ pada televisyen QLED mereka, selain turut menikmati kualiti paparan yang sekata melalui pelbagai sudut pandangan. Samsung turut menyertakan sokongan HDMI 2.1 pada televisyen terbaru mereka ini dalam membolehkan pemindahan kandungan pada resolusi 8K 60P.

Sebanyak tiga model ditawarkan dibawah model 8K Smart QLED TV, iaitu daripada saiz 75-inci, 82-inci dan 98-inci. Model 75-inci berharga RM59,999, model 82=inci berharga RM99,999, dan model 98-inci pula berharga RM299,999.

Selain penawaran model 8K, Samsung turut menawarkan model 4K Smart QLED TV dengan saiz penawaran 49-inci sehingga 75-inci, dimana ia membawakan tanda harga antara RM4,999 sehingga RM19,999.

Komen