Seperti biasa, setiap kali Google I/O diadakan pasti akan banyak perkara baru hadir daripada Google. Terkini, Google telah bercadang untuk menggubah semula sistem rating pada Google Play Store. Perubahan sistem ini adalah secara meluas dan semua aplikasi yang sudah mempunyai rating akan diubah semula.
Antara sebab Google membuat sebegini adalah untuk berlaku adil. Misalnya, aplikasi yang pada asalnya mempunyai pepijat atau kekurangan ciri akan menerima rating yang rendah. Namun selepas dikemaskini, rating tetap akan kekal rendah. Ini adalah kerana Google mengambil kira keseluruhan maklum balas pengguna. Dengan perubahan sistem rating baharu ini, rating hanya akan diambil kira berdasarkan maklum balas yang terkini sahaja.
Bukan itu sahaja, untuk para pembangun – fungsi Android App Bundles seperti Dynamic features kini sudah stabil. Di mana ia menawarkan platform mengawal aplikasi yang lebih efisien, modular dan mudah diubahsuai. Secara tidak langsung, pengguna hanya akan memuat turun saiz pemasangan yang kecil dan hanya akan memuat turun kandungan tambahan jika sesuatu fungsi ingin digunakan. Contoh adalah aplikasi Netflix yang dimaklumkan mempunyai saiz pemasangan 33% lebih.
Selain itu, sistem baharu ini juga menawarkan kemudahan kemaskini aplikasi yang lebih fleksibel, menambahbaik fungsi penerimaan maklum balas pengguna, penyenaraian aplikasi di Google Play Store yang lebih baik yang mana hanya memfokuskan sasaran pengguna tertentu dan banyak lagi.
Sistem baharu ini akan dimulakan pada Ogos ini. Dari perspektif pembangun perkara ini dilihat amat memudahkan mereka. Manakala, perspektif pengguna – kelak aplikasi-aplikasi di Play Store akan paparkan rating yang lebih tepat.