Google Play Store Pada Android TV Akan Hadir Dengan Antaramuka Baru

Google Play Store Pada Android TV Akan Hadir Dengan Antaramuka Baru

Diterbitkan pada Mei 9, 2019 oleh .

Google pada acara Google I/O 2019 telah berkongsi sedikit sebanyak mengenai hala tuju Android TV. Salah satu perkara menarik yang dikongsikan adalah perubahan antaramuka baru yang akan dibawa pada Google Play Store.

Perubahan ini memperlihatkan ia bakal membawa antaramuka yang lebih moden – selari dengan halaman utama Android TV. Ia juga bakal memfokuskan kepada kandungan yang hadir pada sesuatu aplikasi tersebut, dengan memperlihatkan ‘preview‘ pada latar belakang Play Store.

Google Play Store baru ini juga akan memudahkan proses langganan dan pemasangan sesuatu aplikasi melalui sokongan pengesahan berasaskan PIN. Melalui sokongan ini, pengguna tidak lagi perlu memasukkan kata laluan yang panjang menerusi alat kawalan jauh.

Kemaskini ini akan ditawarkan kepada sistem Android TV tanpa mengira versi Android TV yang digunakan – seperti Nougat, Oreo, dan Pie. Tarikh pengeluarannya masih tidak diketahui, namun dijangka akan ditawarkan kepada pengguna pada sekitar tahun ini.


TIPS & ULASAN