Kes Saman Ke Atas Apple Kerana Pepijat FaceTime Berkumpulan Telah Ditolak Mahkamah

Kes Saman Ke Atas Apple Kerana Pepijat FaceTime Berkumpulan Telah Ditolak Mahkamah

Diterbitkan pada Mei 11, 2019 oleh .

Pada awal Januari tahun ini pepijat pada FaceTime mengakibatkan audio boleh didengari oleh pemanggil walaupun penerima belum lagi mengangkat panggilan video. Apple pantas mematikan fungsi FaceTime buat sementara waktu bagi membolehkan kerentanan sekuriti yang serius ini ditampal. Tetapi mereka telahpun disaman oleh seorang peguam yang mendakwa beliau telah diintip disebabkan oleh pepijat ini.

Mahkamah di Houston telah menolak saman yang difailkan oleh Larry Williams II semalam. Ini adalah kerana mereka mendapati William II gagal membuktikan Apple mengetahui wujudnya pepijat ini dan merahsiakannya dari pengguna. Beliau juga gagal membuktikan Apple boleh mengagak privasi pengguna boleh diintip seperti yang berlaku di dalam FaceTime.

Pepijat ini telah berjaya ditampal oleh Apple menerusi kemas kini iOS 12.1.4 yang diberikan pada 8 Februari 2019. Pada waktu yang sama Apple turut telah memohon maaf kepada pengguna yang terkesan akibat pepijat ini serta tiadanya sokongan FaceTime berkumpulan selama lapan hari.


TIPS & ULASAN