Realme bakal melancarkan telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan dalam beberapa hari lagi, iaitu Realme 3 Pro. Menariknya, kini terdapat beberapa penjual yang telah mula mengambil pra-tempahan untuk telefon pintar ini, memperlihatkan ia bakal dijual pada harga bermula RM899.
Realme 3 Pro membawakan spesifikasi sedikit tinggi berbanding versi Realme 3 biasa, selain menyertakan sokongan rakaman gambar lebih baik, bersama-sama bateri bersaiz besar dan sokongan pengecasan pantas.

Dari segi spesifikasi, Realme 3 Pro hadir dengan skrin 6.3-inci FHD+, cip Snapdragon 710, memori sehingga 6GB RAM, storan sehingga 128GB, dan bateri 4045mAh. Realme 3 Pro turut menyertakan sokongan pengecasan pantas VOOC 3.0 besama-sama dengannya.
Ia menggunakan dwi-kamera belakang 16MP + 5MP, selain kamera swafoto 25MP.
Melalui beberapa penjual yang telah mengambil pra-tempahan untuk dua model, iaitu variasi 4GB RAM dan 64GB storan pada harga RM899, sementara 6GB RAM dan 128GB storan pada harga RM1099.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan 14 Mei ini untuk melihat sendiri apakah pengumuman rasmi pihak Realme Malaysia untuk peranti Realme 3 Pro ini.