Xiaomi sedia menjual peranti mereka melalui atas talian dan kedai fizikal, namun mereka ingin memperluaskan penjualan peranti ini pada lebih banyak kawasan. Untuk membolehkan lebih ramai mendapatkan peranti mereka, Xioami telah hadir dengan Mi Express Kiosks – iaitu sebuah inisiatif jualan melalui mesin layan diri.
Inisiatif ini diumumkan oleh Xiaomi India dengan memasang sebuah mesin layan diri ini di Manyata Tech Park, Bengaluru. Melalui mesin ini, pengguna dapat membeli sejumlah telefon pintar dan aksesori daripada Xiaomi secara pantas tanpa perlu berkunjung ke kedai.
Untuk memudahkan proses pembayaran, kesemua mesin ini akan menerima pelbagai mod pembayaran – seperti kad kredit, kad debit, bayaran tunai, dan pembayaran berasaskan Unified Payments Interface (UPI). Harga yang dibawakan oleh mesin ini juga berpatutan, seumpama harga barangan yang dijual pada laman Mi Home dan Mi.com.
Dengan perlaksanaan inisiatif ini, ia sekaligus dapat menjimatkan kos pengoperasian jualan daripada pihak Xiaomi, selain memudahkan pengguna mendapatkan sesebuah peranti dengan pantas. Xiaomi mengatakan mesin ini akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi, seperti di stesen metro, lapangan terbang, dan pusat membeli-belah.