Carian
Ulasan: Samsung Galaxy Tab S5e – Tablet Paling Nipis Tetapi Kurang Berkuasa
May 14, 2019 Fahim Zahar

Samsung Galaxy bukan sahaja mempunyai telefon pintar, tetapi turut mempunyai siri tablet. Seperti telefon pintar, tablet-tablet Samsung turut mempunyai kategori tertentu seperti Tab A atau juga Tab S. Tab A adalah siri kelas permulaan dan kelas pertengahan, manakala Tab S adalah kelas pertengahan premium dan spesifikasi peranti mercu. Tab S yang terkini adalah dalam kelas pertengahan premium – iaitu Samsung Galaxy Tab S5e.

Tablet ini dilancarkan pada bulan Februari lepas dan sasaran Samsung kali ini dilihat memfokuskan produktiviti sahaja. Namun, dari segi rekaan Samsung mengekalkan rekaan premium yang sesuai dengan mereka yang mempunyai cita rasa tinggi. Samsung turut mereka tablet ini lebih nipis berbanding iPad Pro (2018), tetapi persoalan utama adalah – adakah tablet ini berbaloi untuk dimiliki?

Spesifikasi

Samsung Galaxy Tab S5e
Skrin 10.5-inci Super AMOLED
Chipset Snapdragon 670
CPU 2×2.0 GHz 360 Gold & 6×1.7 GHz Kryo 360 Silver
GPU Adreno 615
Memori 4GB RAM
Storan 64GB
Kamera Utama 13MP
Kamera Hadapan 8MP
Sambungan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
USB-C 3.1, Pengecasan Pantas 18W
Sistem One UI, Android 9.0 Pie
Bateri 7040 mAh

Tab S5e ini menggunakan skrin Super AMOLED bersaiz 10.5-inci dengan resolusi 2560 x 1600. Seperti peranti-peranti Samsung, majoritinya menggunakan panel Super AMOLED ini yang mana warna hitamnya adalah sangat gelap dan hitam sejati. Skrin ini mempunyai warna yang menarik, butiran yang jelas, cukup terang dan memuaskan. Namun untuk kegunaan di bawah cahaya yang terang, ia agak mengecewakan kerana ia agak malap.

Apabila menonton YouTube pada resolusi maksima atau juga menstrim kandungan dari Netflix, pengalamannya sungguh mengasyikkan. Penggunaan di waktu malam juga tidak menjadi masalah, jika skrin sudah dimalapkan dan terasa masing silau – gunakan sahaja tetapan yang terbina seperti mengaktifkan mod ‘Blue light filter‘.

Jika dipandang dengan lebih teliti, Samsung cuba mimik rekaan iPad Pro (2018) yang mana keliling skrin mempunyai saiz bezel yang hampir sekata. Ini secara tidak langsung memberikan nisbah skrin-ke-badan yang lebih tinggi. Nisbah skrin pula adalah 16:10 yang mana sedikit lebih panjang daripada nisbah klasik 16:9. Ia tidak mengganggu sebarang pengalaman penggunaan, tetapi ketika menonton video bernisbah 16:9 – aka terdapat bar hitam di atas dan bawah skrin.

Cip pemprosesan yang menguasakan tablet ini adalah Snapdragon 670 yang dipadankan dengan memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Jika anda dengar 64GB untuk tablet itu kecil, usah risau kerana storan boleh dikembangkan lagi melalui kad mikroSD sehingga 512GB. Cip pemprosesan ini boleh dikatakan agak lama untuk peranti tahun 2019. Ini kerana, siri Snapdragon 6xx sudah pun capai versi Snapdragon 675 dan ada lagi yang lebih berkuasa iaitu Snapdragon siri 7xx.

Tablet ini turut mempunyai kamera hadapan dan kamera belakang. Kamera utama adalah lensa 13MP dan mampu merakam sehingga 4K UHD 30FPS. Manakala kamera swafoto pula adalah lensa 8MP yang biasa sahaja. Untuk pembesar suara pula, Samsung Galaxy Tab S5e ini mempunyai empat pembesar suara daripada AKG dan ditala dengan Dolby Atmos.

Rekaan

Seperti yang saya katakan tadi, rekaan skrin adalah mirip iPad Pro (2018). Tetapi realitinya, tablet ini jauh lebih nipis. Ia mempunyai saiz ketebalan hanya 5.5mm. Di bahagian atas terdapat mikrofon dan dua kekisi pembesar suara. Bahagian bawah pula adalah port USB-C dan bersama-sama dengan dua lagi kekisi pembesar suara. Di setiap bahagian atas dan bawah turut terdapat garisan untuk antena.

Di bahagian sisi kanan terdapat butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Konsep ini turut digunapakai pada Samsung Galaxy S10e. Kemudian, di bawahnya adalah butang aras suara, mikrofon dan slot untuk kad sim dan kad memori. Sisi di bahagian kiri pula hanya terdapat dua lubang dan satu port magnetik untuk disambungkan dengan aksesori rasmi daripada Sasmung.

Di bahagian skrin, walaupun bezelnya nipis untuk sebuah tablet dan mirip iPad Pro – ia tidak mempunyai sensor-sensor seperti Face ID. Pada tablet ini hanya terdapat kamera swafoto dan sensor cahaya biasa sahaja. Beralih kepada bahagian belakang, terdapat satu kamera pada sudut kiri atas, logo Samsung di tengah dan logo AKG di bahagian bawah.

Saiz yang nipis dan rekaan yang cantik ini, turut memudakan tablet ini dipegang menggunakan satu tangan sahaja. Ia agak ringan juga. Perbandingan dari segi harga, yang paling dekat adalah iPad Air (2019), namun jisim yang ringan hampir dengan iPad Air (2019).

Perisian

Seperti kebanyakan peranti Samsung tahun 2019, Tab S5e menjalankan sistem operasi terkini Samsung, One UI. One UI adalah berasaskan Android dan pada tablet ini, versi Androidnya adalah Android Pie. Sasaran One UI sepatutnya adalah untuk penggunaan saru tangan. Tetapi mustahil pada tablet untuk gunakan satu tangan. Jadi pada Tab S5e, One UI adalah lebih kepada rekaan sahaja.

Antaramuka One UI ini secara keseluruhan pada tablet nampak membazir ruang. Jika pada telefon pintar, ia masih boleh diterima lagi. Tetapi agak menjengkelkan pada tablet. Lupakan sahaja perkara ini, apa yang penting adalah segala ciri dan fungsi One UI hampir kesemuanya terdapat pada tablet ini.

Daily Board

Memaparkan slideshow gambar-gambar, masa, cuaca dan kalendar ketika peranti sedang dicas. Fungsi ini khusus untuk tablet sahaja dan jelas sekali ia adalah pengganti kepada Always-On Display. Daily Board turut mempunyai mod malam untuk paparan pada waktu malam yang lebih baik.

Device Care

Dahulu, Device Care adalah satu aplikasi berasingan seakan CCleaner. Namun selepas sedar akan fungsi CCleaner pada peranti pintar tidak berfungsi malah lebih membahayakan peranti – Device Care adalah hab yang mengumpulkan tetapan-tetapan sistem penting seperti bateri dan memori. Turut terbina adalah aplikasi sekuriti untuk sekuriti tambahan.

Digital Wellbeing

Mula diperkenalkan pada Android Pie dan terhad kepada Android asli sahaja. Selepas beberapa bulan, baru fungsi ini mula hadir ke sistem operasi dengan antaramuka tersendiri seperti One UI. Digital Wellbeing adalah hab mengawal obsesi pengguna terhadap penggunaan peranti. Melalui fungsi ini, ia boleh mengawal cara penggunaan peranti.

Kids Home

Bukannya perkara baharu, tetapi kebiasaannya memang akan terbina pada tablet-tablet Samsung. Bayangkan sahaja konsep ‘Second Space’ pada MIUI oleh Xiaomi, tetapi khusus untuk kanak-kanak. Mod ini akan mengunci segala fungsi tablet dan hadkan untuk penggunaan kanak-kanak sahaja.

Night Mode

Ini adalah fungsi yang ramai inginkan. Namun manfaat fungsi ini hanya jelas kelihatan pada peranti dengan skrin daripada panel OLED. Tab S5e adalah salah satunya. Pada One UI, mod malam ini menggabungkan warna hitam sejati dan juga warna kelabu pekat. Ini adalah untuk memberi satu tona warna yang stabil dan tidak menyakitkan mata pengguna.

Samsung DeX

Jika pada telefon-telefon pintar Samsung seperti Galaxy Note 9 atau Galaxy S10, mod Samsung DeX hanya boleh diaktifkan jika peranti disambungkan ke paparan lain melalui kabel HDMI – pada Tab S5e ia boleh dilancarkan secara begitu sahaja.

Samsung DeX adalah mod desktop tersendiri daripada Samsung. Ia membolehkan pengguna menggunakan papan kekunci fizikal dan tetikus untuk mengawal. Buka itu sahaja, segala aplikasi-aplikasi akan berubah dalam bentuk tetingkap seakan Windows. Kelebihan mod ini adalah untuk memudahkan kerja-kerja seperti menjalankan lebih banyak aplikasi secara serentak, pengalaman menaip yang lebih bagus dan pengganti kepada Windows.

Pengalaman Penggunaan

Samsung Galaxy Tablet S5e ini adalah satu tablet yang pada saya hanya memfokuskan produktiviti. Ini adalah kerana cip pemprosesannya yang sedikit lemah. Menggunakan mod Samsung DeX dan menjalankan hanya beberapa aplikasi sahaja, sudah mendatangkan masalah lengah masa. Kemudian mod biasa pula, turut terasa animasi yang tersangkut-sangkut dan kadangkala mendatangkan perasaan yang sangat menjengkelkan.

Bukan sahaja kerana cip pemprosesannya, tetapi juga kerana jumlah RAM yang rendah. 4GB untuk tablet seperti ini adalah tidak mencukupi. Pendapat saya sekurang-kurangnya 6GB sudah memadai. Jadi dengan cip pemproses yang lemah dan RAM yang rendah, prestasi adalah tidak memuaskan. Jika menjalankan multi-tugasan sudah lemah, bayangkan bermain permua – walaupun ada mod permua, prestasinya sangat mengecewakan.

Markah tanda aras adalah seperti berikut. Tidak memuaskanm tetapi baik-baik sahaja.

Selepas sedar akan kelemahan tablet ini, saya ubah fokus saya kepada hiburan dan kerja sahaja. Saya gunakan tablet ini untuk menulis artikel, membaca dan juga menonton video-video. Kerja-kerja menaip tiada masalah, ia lebih selesa digunakan pada mod menegak. Kemudian untuk menonton video, saya gunakan iflix dan Netflix. Hasil skrin sudah semestinya cantik, apa yang menjadikan tablet ini hebat adalah pembesar suaranya. Empat pembesar suara AKG dengan sokongan Dolby Atmos, hasil audio berdentum dengan hebat. Menonton filem aksi yang banyak letupan sungguh memuaskan. Kemudian menonton video-video keindahan alam, bunyi kicauan burung dan aliran air sungai sungguh indah.

Saya turut menggunakan tablet ini untuk memainkan muzik dari Tidal. Pendengaran muzik pastinya khusyuk dan mengasyikkan. Saiz tablet ini nipis, jadi ia muat sahaja untuk disimpan hampir di mana-mana. Samsung mengiklankan ia boleh disimpan dicelah buku. Tab S5e ini turut mudah digunakan jika menaiki pengangkutan awam seperti LRT/KTM.

Kamera pula pada saya agak mengecewakan. Untuk tablet Samsung sepatutnya bina aplikasi kamera yang dikhususkan untuk tablet. Antaramuka kameranya mirip aplikasi kamera pada telefon. Kemudian, hasil rakaman juga tidak memberangsangkan. Berikut adalah beberapa sampel kamera swafoto dan kamera utama.

Seterusnya adalah bateri. Samsung tidak mendedahkan kapasiti bateri tablet ini. Namun dengan menggunakan aplikasi pihak ketiga, kami mendapati bateri Galaxy Tab S5e adalah 7040 mAh. Sepanjang penggunaan, saya memperoleh jumlah 1 hari 18 jam dengan SOT 8 jam 32 minit dan baki bateri sekitar 20%.

Konklusi

Mengakhiri ulasan ini, tablet Samsung Galaxy Tab S5e ini secara keseluruhan cukup memuaskan. Cuma prestasinya yang sedikit mengecewakan. Rekaan sudah hebat dan cantik, skrin yang menawan dan ketahanan bateri sehingga hampir dua hari. Jika tidak hirau dengan kamera dan prestasi dan ingin gunakan tablet ini sebagai sebuah mesin hiburan juga tidak menjadi masalah. pembesar suara AKGnya cukup mengujakan.

Perisian One UI pada pendapat saya lebih baik untuk telefon pintar. Untuk tablet, mungkin Samsung boleh mengasah sedikit lagi yang memfokuskan penggunaan untuk peranti dengan skrin bersaiz besar. Bagi yang berminat dengan tablet ini, ia dijual pada harga rasmi hanya RM1999.

Ya, sedikit lebih mahal dari iPad Air (2019), tetapi perlu ingat Tab S5e ini lengkap dengan sokongan data, WiFi dan juga kad mikroSD. Untuk membantu anda memilih tablet terbaik, boleh lihat perbandingan di bawah.

Pro Kontra
  • Paparan terbaik, skrin cukup terang, warna yang tajam dan memuaskan.
  • Jangka hayat bateri yang menakjubkan.
  • Rekaan premium dan bahan binaan yang premium.
  • Empat pembesar suara AKG yang hebat.
  • Cip pemprosesan lemah.
  • Prestasi yang mengecewakan.
  • Memori yang lemah dan storan dalaman yang agak kecil untuk tahun 2019.
  • Skrin malap di bawah cahaya yang terang.
  • One UI yang membazir ruang.

Komen