Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa Intel telah menjual pegangan mereka didalam syarikat IM Flash kepada Micron, dan mereka mempunyai masa sehingga 2020 untuk membeli memori tersebut sebelum mereka perlu membuka kilang baru untuk membinanya.
Intel dilaporkan sudahpun mempunyai satu kilang di Dalian, China yang sedang mengilang cip-cip storan tersebut, yang digunakan untuk storan hibrid Intel Optane yang digunakan oleh banyak pusat data dan juga jenama-jenama pembina komputer di seluruh dunia.
Kilang tersebut, yang dinamakan Fab 68 telah mula beroperasi sejak 2010, dimana kapasiti kilang tersebut telah ditingkatkan beberapa kali untuk mengilang memori 3D XPoint generasi pertama dan kedua.
Berdasarkan laporan Anand Tech, walaupun kilang tersebut dikatakan akan mengilang semua cip storan Optane bermula Oktober 2020, buat masa ini, Intel tidak mempunyai sebarang pelan untuk meningkatkan kebolehan pengeluaran kilang tersebut.
Memori generasi ketiga 3D XPoint kini sedang dibangunkan, dan sepatutnya dikilangkan di kilang IM Flash di New Mexico pada tahun 2021 kelak, tetapi dengan penjualan pegangan IM Flash kepada Micron, semua pelan tersebut nampaknya perlu berubah.