Cari @ Amanz

Solid State Drive (SSD) merupakan storan berasaskan flash yang menawarkan kelajuan yang lebih pantas berbanding cakera keras. Ia pada mulanya dijual pada harga yang sangat mahal, namun harga jualannya dijangka akan terus menurun pada tahun ini.

Menurut DRAMeXchange, industri storan berasaskan NAND flash telah menunjukkan tanda-tanda penghasilan yang berlebihan, sekaligus mewujudkan ‘perang harga’. Penjual sentiasa menurunkan harga SSD antara satu sama lain – menyebabkan harga SSD terus menunjukkan penurunan pada saat ini.

Apa yang lebih menarik lagi, harga SSD dijangka akan berada pada harga $0.1 USD atau RM0.42 per GB menjelang akhir tahun ini. Perkara ini sekaligus akan menyebabkan konfigurasi storan seperti 128GB dan 256GB akan digantikan dengan storan 480GB/512GB sebagai storan SSD permulaan ketika pembelian.

Pada saat ini, storan SSD seperti Kingston A400 dijual pada harga RM89 (120GB), RM129 (240GB), RM235 (480GB), dan RM469 (960GB).

Dengan penurunan harga SSD yang drastik dari tahun ke tahun, kita mungkin akan dapat lihat lebih banyak PC dan komputer riba akan disertakan dengan storan ini. Dengan penggunaan SSD, pengguna akan dapat menikmati proses boot yang lebih singkat, disamping dapat menikmati pengkomputeran yang jauh lebih lancar berbanding penggunaan cakera keras.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd