Cari @ Amanz

Facebook baru-baru ini telah pun memperkenalkan sokongan Facebook Dating pada aplikasi mudah-alih mereka, membolehkan pengguna hadir dengan profil kedua dalam memudahkan mereka mencari kenalan atau jodoh. Selari dengannya juga, kini pihak Polis Diraja Malaysia mengeluarkan sejumlah tips khusus untuk pengguna Facebook Dating dalam mengelak mereka menjadi mangsa pihak yang tidak sepatutnya.

Berikut merupakan antara tips panduan yang dikongsikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia hari ini melalui laman Facebook mereka:

1. Jangan dedahkan nama penuh, maklumat kewangan, alamat, nombor telefon, tempat bekerja atau apa-apa sahaja informasi semasa anda sedang berbual dengan seseorang yang baharu dikenali. Halang atau lapor segera sekiranya terdapat individu yang meminta maklumat peribadi anda.

2. Abaikan permintaan sesiapa yang menginginkan anda untuk menghantar wang atau menghulurkan bantuan derma.

3. Jangan terlalu mempercayai maklumat yang dipaparkan oleh mana-mana individu di profil Facebook Dating. Selidik terlebih dahulu latar belakang mereka sekiranya bercadang untuk bersemuka.

4. Maklumkan kepada keluarga atau kenalan mengenai perancangan janji temu anda dengan menyatakan lokasi dan masa anda akan pulang semula ke rumah.

5. Elakkan bertemu janji di kawasan yang sunyi. Sebaiknya di kawasan terbuka dan di khalayak ramai.

6. Sekiranya dari awal lagi anda berasa tidak selesa atau selamat untuk berjumpa dengan individu berkenaan, batalkan sahaja niat itu! Gerak hati kadang kala mampu menyelamatkan kita.

Seperti biasa, anda dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika berurusan diatas-talian, dan tidak mudah terpedaya dengan pihak-pihak lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd