Cari @ Amanz

Xiaomi dikatakan sedang membangunkan Xiaomi Mi Band 4 sebagai model ganti kepada Mi Band 3. Kini gambar pengolokan (render) untuk model ini tertiris ke arena web, sekaligus memberi gambaran awal bagaimanakah rupa kepada peranti ini.

Gambar ini diperlihatkan melalui pengesahan NCC Taiwan, dengan memberi gambaran yang jelas mengenai rekabentuk peranti ini. Bentuknya kelihatan serupa seperti Mi Band 3, namun butangnya kini telah digantikan dengan butang berasaskan kapasitif.

Apa yang menarik lagi, ia juga membawa paparan berwarna berbanding paparan monokrom pada model sebelum ini. Ia dilihat hadir dengan kawalan muzik bagi memudahkan pengguna menuju ke lagu seterusnya dengan mudah. Ia dijangka akan menyertakan fungsi pembantu maya secara terbina, namun ia mungkin tidak akan ditawarkan untuk kegunaan global.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Mi Band 4 juga menawarkan Bluetooth 5.0, selain mengekalkan fungsi denyutan nadi berasaskan pengesan photoplethysmography (PPG). Ia bakal menyertakan NFC, namun fungsi ini dilaporkan hanya ditawarkan untuk pasaran China.

Walau bagaimanapun, Xiaomi tidak memberikan sebarang tarikh bilakah Xiaomi Mi Band 4 ini akan ditawarkan untuk pasaran pengguna. Namun ia dijangka akan masih ditawarkan pada harga yang berpatutan bersama ketahanan bateri yang lama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd