Siri OnePlus 7 merupakan siri OnePlus pertama yang tidak menyertakan sokongan bicu audio 3.5mm. Apa yang membuatkannya lebih radikal, OnePlus juga dilihat tidak menyertakan sebarang penyesuai (adapter) USB-C ke 3.5mm di dalam kotak pembelian peranti.
Langkah ini mengambil inspirasi daripada pengeluaran iPhone terkini, yang mana turut tidak menyertakan sebarang penyesuai 3.5mm di dalam kotak. Namun untuk pengeluar Android, ia sesuatu yang jarang dilakukan dan nampaknya OnePlus ingin menjadi yang terawal dalam tidak memberi aksesori penyesuai ini.
Dengan ketiadaan penyesuai 3.5mm, pengguna perlu mendapatkan penyesuai ini secara berasingan atau mendapatkan headset berasaskan USB-C. Selain daripada sambungan berwayar, pengguna juga disarankan untuk beralih ke aksesori berasaskan Bluetooth untuk menikmati muzik daripada peranti ini.
Jadi bagi anda yang bercadang untuk mendapatkan OnePlus 7 dan OnePlus 7, anda mungkin perlu mendapatkan sejumlah aksesori audio sebelum anda membeli peranti ini. Perkara ini kerana aksesori seperti headset berasaskan USB-C juga tidak disertakan di dalam kotak pembelian peranti.