Keluar Dari Kumpulan WhatsApp Pejabat Tanpa Kebenaran Majikan Boleh Menyebabkan Anda Dibuang Kerja

Keluar Dari Kumpulan WhatsApp Pejabat Tanpa Kebenaran Majikan Boleh Menyebabkan Anda Dibuang Kerja

Diterbitkan pada Mei 16, 2019 oleh .

Menjadi kebiasaan setiap pejabat mempunyai kumpulan WhatsApp yang memudahkan kakitangan dan majikan berhubung antara satu sama lain. Tetapi kami yakin ada di antara pembaca yang keluar dari kumpulan tanpa kebenaran atas tujuan peribadi. Namun begitu tahukah anda tindakan keluar dari kumpulan WhatsApp pejabat boleh dijadikan alasan anda dibuang kerja oleh majikan?

Di dalam kes di antara Thilagavathy A/P Arunasalam melawan Maxis Mobile Sdn Bhd, Mahkamah Perusahaan Malaysia memihak kepada majikan selepas plaintif memfailkan tuntutan mahkamah. Tuntutan difailkan kerana merasakan majikan tidak mempunyai hak membuang pekerja kerana keluar dari kumpulan WhatsApp pejabat.

Thilagavathy telah keluar dari kumpulan yang dibuka oleh majikan walaupun telah dimaklumkan kebenaran ketua cawangan diperlukan terlebih dahulu. Beliau kemudian diberikan amaran oleh majikan supaya tidak mengulangi tindakan ini.

Thilagavathy kemudian sekali lagi keluar dari kumpulan WhatsApp tanpa kebenaran ketua cawangan atas sebab akan bercuti. Apabila disoal  beliau mendakwa tidak tahu tentang keperluan meminta kebenaran dan percaya tindakan ini tidak melanggar polisi syarikat. Pada waktu yang sama bekas majikan berkata plaintif gagal menyerahkan laporan-laporan jualan menepati masa walaupun diminta berkali-kali. Atas sebab-sebab ini, plaintif telah dibuang kerja.

Mahkamah memihak kepada bekas majikan kerana plaintif telah diberikan peringatan dan amaran secukupnya sebelum tindakan dibuang kerja diambil. Kegagalan plaintif untuk mendengar arahan bekas majikan juga diambil kira dalam keputusan mahkamah.

Jika sekiranya anda di dalam situasi yang sama anda perlu tahu bahawa majikan mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas anda.


TIPS & ULASAN