Microsoft dan Sony adalah dua pesaing terbesar didalam arena permainan konsol, dan kedua-dua syarikat ini biasanya akan cuba untuk meletakkan nama mereka sebagai jenama gaming yang terutama di dunia.
Akan tetapi, Sony dan Microsoft baru sahaja mengumumkan bahawa mereka akan memasuki satu kerjasama baru untuk membangunkan teknologi permainan awanan (cloud gaming) dan kecerdasan buatan.
Melalui kerjasama ini, Sony dan Microsoft akan berkongsi pengetahuan mereka mengenai perkhidmatan penstriman permainan, teknologi awanan dan sebagainya.
Sony dan Microsoft masing-masing mempunyai perkhidmatan permainan awanan mereka melalui PlayStation Now dan juga xCloud, tetapi oleh kerana Google bakal hadir dengan Project Stadia dan Amazon juga dikatakan akan memperkenalkan perkhidmatan permainan mereka sendiri, Sony dan Microsoft nampaknya melihat cara terbaik untuk memastikan mereka kekal diatas adalah dengan kerjasama ini.
Kerjasama ini juga dikatakan akan melihat Sony menggunakan Microsoft Azure untuk membina platform penstriman dan perkongsian kandungan tidak lama lagi, manakala Microsoft boleh menggunakan kepakaran Sony didalam bidang semikonduktor untuk memastikan bahawa perisian-perisian seperti Azure AI dan sebagainya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.