Spotify ialah platform penstriman muzik dengan jumlah pengguna terbesar di dunia. Secara peribadi kami menggunakan Spotify setiap hari khususnya ketika memandu kerana bosan dengan celoteh DJ radio tempatan. Mereka kini akan mengembangkan operasi dengan menghasilkan perkakasan pertama mereka Car Thing.
Car Thing ialah pemain audio yang dipasang di dalam kereta. Ia mempunyai sebuah skrin berbentuk bulat pada sebelah kiri dan empat butang pada sebelah kanan yang diprogramkan untuk melancarkan empat senarai main peribadi pengguna. Menurut laporan The Verge, Car Thing boleh diseru dengan menggunakan frasa “Hello Spotify”. Sumber kuasa adalah dari pencucuh rokok manakala ia boleh disambung kepada sistem audio kenderaan secara bluetooth atau bicu audio.
Spotify akan memulakan ujian Car Thing di Amerika Syarikat minggu hadapan. Ia akan ditawarkan kepada sebilangan kecil pengguna Spotify Premium tetapi program ini tidak terbuka kepada umum. Menurut Spotify lagi ini hanya sekadar ujian tanpa perancangan menjualnya pada waktu ini. Selain itu mereka turut mempunyai perancangan untuk Home Thing dan Voice Thing, dua produk yang mungkin sama seperti Google Home dan Chromecast Audio.