Galaxy Watch, Gear S3 Dan Gear Sport Kini Menerima Kemaskini One UI

Galaxy Watch, Gear S3 Dan Gear Sport Kini Menerima Kemaskini One UI

Diterbitkan pada Mei 21, 2019 oleh .

One UI adalah sistem operasi baharu tersendiri daripada Samsung. Ia adalah berasaskan Android dan menurut Samsung ia memfokuskan kepada penggunaan satu tangan. Rekaan One UI adalah antara rekaan antaramuka yang terbaik pernah Samsung hasilkan. Ianya kemas, mudah digunakan, tersusun rapi dan banyak ciri dan fungsi menarik. One UI pula bukan dikhususkan untuk telefon pintar, tetapi juga kepada tablet dan jam tangan pintar.

Jam tangan pintar Samsung, Galaxy Watch Active adalah yang pertama yang menjalankan One UI. Ia masih lagi berasaskan Tizen OS dan bukannya Wear OS. Terkini, Samsung telah mula mengedarkan kemaskini ini kepada tiga jam tangan pintar Samsung yang lama – Galaxy Watch, Gear S3 dan Gear Sport. Melalui kemaskini ini, Samsung membawakan antaramuka baharu, akses lebih mudah ke tetapan, muka jam baharu, ciri dan fungsi kecergasan baharu seperti menjejak aktiviti renang, mengaktifkan mod tidur dan banyak lagi.

Untuk jam tangan pintar yang terpilih, ia akan paparkan One UI v1.0. Namun terdapat jam tangan pintar yang akan paparkan versi sistem operasi mereka adalah Tizen v4.0.0.4. Kemaskini ini diedarkan melalui aplikasi Galaxy Wearables, jika anda inginkan kemaskini baharu ini – semak sahaja aplikasi anda.


TIPS & ULASAN