Menerbangkan dron di dalam ruang udara berhampiran lapangan terbang adalah dilarang sama sekali. Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya pelanggaran dron dengan pesawat. DJI hari ini mengumumkan sistem baharu AirSense yang boleh memberikan amaran sekiranya terdapat pesawat berhampiran.
AirSense bergantung kepada teknologi ADS–B yang digunakan pada pesawat. ADS–B memancarkan lokasi pesawat sepanjang masa ke menari penerima seperti yang boleh ditemui di lapangan terbang bagi membolehkan pesawat dijejak menara kawalan udara. AirSense mengesan isyarat ADS-B dari pesawat yang terletak berbatu jauhnya.
Jika AirSense mendapati dron mungkin berlanggar dengan pesawat, amaran akan dipaparkan pada alat kawalan jauh pemilik dron. Mereka kemudian boleh menerbangkan dron ke kawasan yang lebih selamat.
AirSense akan diperkenalkan pada dron DJI yang mempunyai berat melebihi 250 gram bermula Januari 2020. Dron di bawah keluarga Phantom dan Mavic adalah antara yang akan menerimanya.