ASUS ROG Zephyrus G Dengan CPU AMD Dan Kad Grafik NVIDIA Akan Tiba Tidak Lama Lagi – Berharga RM4999

ASUS ROG Zephyrus G Dengan CPU AMD Dan Kad Grafik NVIDIA Akan Tiba Tidak Lama Lagi – Berharga RM4999

Diterbitkan pada Mei 23, 2019 oleh .

Siri komputer riba ASUS ROG Zephyrus cukup terkenal sebagai komputer riba gaming yang bukan sahaja hadir dengan prestasi yang berkuasa, tetapi juga mempunyai rekaan premium dan serba nipis yang memudahkannya untuk dibawa kemana sahaja.

Akan tetapi, ASUS ROG Zephyrus G akan mengubah semua itu, kerana sama seperti kemaskini model ASUS TUF Gaming FX505 yang baru sahaja dilancarkan, ia akan dikuasakan oleh siri CPU AMD Ryzen dan kad grafik NVIDIA GTX yang terbaru.

Bermula dengan spesifikasi dalaman, ASUS ROG Zephyrus G ini dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen 7 3750H, sokongan untuk memori DDR4 sehingga 32GB dan storan SSD NVMe sebanyak 512GB.

Dari segi kad grafik pula, Zephyrus G ini dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti Max-Q yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai permainan komputer moden pada resolusi Full HD dengan tetapan yang tinggi.

Siri ASUS ROG Zephyrus dikenali dengan rekaan yang nipis, dan dari aspek ini, Zephyrus G tidak mengecewakan. Ia masih hadir dengan rekaan nipis pada ketebalan 20mm, dan paparan 15 incinya hadir dengan rekaan hampir nirbingkai yang memuatkan skrin tersebut didalam rangka komputer riba bersaiz 14 inci. Paparan ini juga mempunyai resolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz.

Walaupun ia tidak mempunyai sistem penyejukan unik Active Aerodynamic System yang biasanya hadir pada model-model sebelum ini, ASUS menyatakan bahawa sistem penyejukan yang digunakan didalam laptop ini masih cukup berkuasa untuk menyejukkan komponen-komponen dalamannya.

ASUS turut menjanjikan jangkahayat bateri yang lama walaupun ini adalah sebuah komputer riba gaming. Ia dikatakan boleh bertahan selama 7 hingga 8 jam dengan satu pengecasan penuh.

ASUS Malaysia juga mengumumkan bahawa ASUS ROG Zephyrus G akan dijual pada harga RM4999 dan akan tiba di pasaran tempatan bermula awal bulan Julai kelak.


TIPS & ULASAN