Cari @ Amanz

Pernah atau tidak anda sembunyikan emosi sebenar anda? Misal kata anda dalam keadaan sedih atau sendu dan di pejabat anda berpura-pura segalanya baik sahaja. Kelak anda mungkin akan lebih berterus terang dengan orang ramai, kerana Amazon sedang membangunkan peranti yang boleh membaca emosi manusia dengan fungsi arahan suara. Kemudian, peranti ini mungkin turut boleh menasihati pengguna untuk lebih berinteraksi dengan orang ramai dan bukan berdiam diri sahaja.

Pasukan Amazon yang bertanggungjawab dengan projek ini adalah dari pasukan Fire, Echo dan juga Alexa. Peranti ini adalah sejenis peranti boleh pakai yang direka untuk diselarikan pada telefon pintar. Ia turut akan mempunyai mikrofon yang digabungkan dengan perisian yang boleh mengecam emosi pengguna berdasarkan suara sahaja.

Buat masa ini, peranti ini masih lagi dalam pembangunan dan tidak pasti bila ia akan hadir kepada umum. Kod nama projek ini adalah ‘Dylan‘ dan tidak lama lagi  akan ada program ujian beta. Peranti ini akan berada dalam kategori penjejak kesihatan dan Amazon sudah pun mempatenkan perisian pengecaman suara pada tahun 2017 yang boleh mengenalpasti emosi seperti kegembiraan, kemarahan, kesedihan, kesedihan, ketakutan, jijik, kebosanan, tekanan dan banyak lagi.

Jika penjejak kesihatan seperti Mi Band yang hanya boleh mengimbas nadi, jarak perjalanan, kalori sudah klise – kelak peranti boleh pakai ini akan mampu membaca emosi pula. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd