Redmi K20 Disahkan Akan Membawa Bicu Audio 3.5mm

Redmi K20 Disahkan Akan Membawa Bicu Audio 3.5mm

Diterbitkan pada Mei 24, 2019 oleh .

Redmi bakal melancarkan Redmi K20 pada 28 Mei di China, iaitu peranti berkuasa yang bakal ditawarkan pada harga mampu-milik. Sebagai persediaan, mereka telah mula memperlihatkan sejumlah fungsi yang bakal hadir untuk menarik minat pengguna.

Salah satu fungsi yang disahkan akan hadir pada Redmi K20 ialah sambungan bicu audio 3.5mm. Ia sebuah fungsi yang telah dibuang pada kebanyakan peranti berkuasa, dengan alasan untuk memberi ruang kepada perletakkan perkakasan yang lain.

Perkara ini disahkan oleh Lu Weibing, iaitu Pengurus Am Redmi melalui perkongsian di laman Weibo. Selain daripada bicu audio 3.5mm, Redmi K20 juga bakal hadir dengan Mi Sound Amplifier dan pengesahan Hi-Res untuk penawaran audio berkualiti tinggi.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Redmi K20 dijangka akan hadir dengan paparan AMOLED dengan rekaan kamera pop-naik. Ia juga bakal menyertakan pengimbas cap jari di bawah skrin dan kapasiti bateri sebesar 4000 mAh.

Dengan penawaran fungsi bicu audio ini, ia dapat memudahkan pengguna menikmati audio tanpa perlu penyesuai atau aksesori Bluetooth tambahan. Pihak Redmi juga tidak lagi perlu memutuskan sama ada mereka perlu meletakkan penyesuai di dalam kotak, kerana fungsi ini sudah terbina bersama peranti.


TIPS & ULASAN