Carian
ASUS VivoBook S14 Dan S15 Dikemaskini Dengan Ciri ScreenPad 2.0
May 27, 2019 Nazrin

Pada tahun lepas, ASUS melancarkan siri komputer riba produktiviti ASUS VivoBook S14 dan VivoBook S15 yang hadir dengan spesifikasi dan ciri-ciri yang membuatkannya sebuah peranti yang cukup bagus untuk digunakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Di acara Computex Taipei pada tahun ini, ASUS telah mengemaskini siri komputer riba tersebut dengan ciri ScreenPad baru, yang pada mulanya diperkenalkan pada siri komputer riba ASUS ZenBook Pro pada tahun lepas.

Bermula dengan spesifikasi dalaman, kedua-dua komputer riba ASUS VivoBook ini hadir dengan pilihan CPU Intel Core i5-8265U ataupun Intel Core i7-8565U. Ia menyokong memori DDR4 sehingga 16GB, dan juga storan SSD NVMe sehingga 1TB.

Sama seperti model tahun lepas, paparan 14 dan 15.6 inci pada model VivoBook S14 dan S15 hadir dengan rekaan nirbingkai NanoEdge yang mempunyai resolusi Full HD.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, model VivoBook terbaru ini juga dilengkapi dengan ciri ScreenPad 2.0, iaitu sebuah ciri yang menjadikan bahagian trackpad komputer riba ini seperti sebuah paparan skrin kedua, yang bukan sahaja membolehkan pengguna melanjutkan skrin paparan, tetapi menggunakan aplikasi-aplikasi khusus pada skrin tersebut.

Dalam pada itu, ASUS VivoBook S14 dan VivoBook S15 ini turut hadir dengan ciri WiFi 6, dimana ia mampu menyokong kelajuan internet nirwayar selaju 9.6Gbps, hampir tiga kali lebih pantas daripada sambungan WiFi sebelum ini.

Bagi mereka yang inginkan sebuah komputer riba yang menunjukkan individualiti seseorang, ASUS VivoBook S14 dan VivoBook S15 ini juga hadir dengan rekaan-rekaan warna yang menarik seperti Moss Green, Punk Pink, Cobalt Blue, Transparent Silver dan Gun Metal.

Buat masa ini pihak ASUS masih belum memberi kata putus bilakah peranti ini akan hadir di pasaran, mahupun tanda harga untuk model-model ini.

Komen