Cari @ Amanz

Siri komputer riba ASUS ZenBook ialah sebuah siri komputer produktiviti yang hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa untuk kegunaan pejabat, mahupun para profesional kreatif yang memerlukan sebuah peranti yang boleh digunakan dimana-mana sahaja.

Di acara Computex yang sedang berlangsung, pihak ASUS turut memperkenalkan kemaskini peranti ASUS ZenBook 13, ZenBook 14 dan ZenBook 15 dengan spesifikasi dan ciri-ciri yang akan meningkatkan produktiviti pengguna.

Bermula dengan spesifikasi dalaman, ketiga-tiga model laptop ini, ianya semua dilengkapi dengan pilihan Intel Core i5-8265U ataupun Intel Core i7-8565U, dengan sokongan memori DDR4 sebanyak 8GB atau 16 GB, bersama-sama dengan storan SSD NVMe sebesar 512GB ataupun 1TB.

Ketiga-tiga model ini turut hadir dengan kad grafik kendiri. Model ZenBook 13 dan ZenBook 14 dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX250, manakala ASUS ZenBook 15 mempunyai kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650.

Selari dengan nama model komputer-komputer riba ini, ASUS ZenBook ini hadir dengan paparan 13, 14 dan 15 inci. Paparan pada ZenBook 13 dan ZenBook 14 mempunyai resolusi Full HD, manakala ASUS ZenBook 15 diberi pilihan untuk menggunakan paparan Full HD ataupun 4K.

Sebelum ini, ciri ScreenPad hanya diperkenalkan pada ASUS ZenBook Pro, tetapi model-model ASUS ZenBook terbaru ini turut hadir dengan ciri ScreenPad 2.0 terbaru, yang hadir dengan kemaskini prestasi dan juga pengurangan penggunaan kuasa, dimana ASUS menjanjikan penambahan jangkahayat bateri sebanyak 2.5 kali lebih tinggi daripada model tahun lepas.

Buat masa ini, pihak ASUS masih belum mengumumkan lagi bilakah mereka akan melancarkan komputer riba ini, mahupun tanda harganya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd