ASUS ZenBook Pro Duo Diperkenalkan – Hadir Dengan Ciri ScreenPad Plus Bersaiz 14 Inci

ASUS ZenBook Pro Duo Diperkenalkan – Hadir Dengan Ciri ScreenPad Plus Bersaiz 14 Inci

Diterbitkan pada Mei 27, 2019 oleh .

Di acara Computex pada tahun lepas, ASUS memperkenalkan komputer riba ASUS ZenBook Pro yang bukan sahaja hadir dengan spesifikasi berkuasa, tetapi juga mempunyai ciri baru yang dinamakan ScreenPad.

Pada tahun ini, ASUS memperkenalkan model terbaru didalam siri ZenBook Pro yang dinamakan ASUS ZenBook Pro Duo yang bukan sahaja mempunyai spesifikasi dalaman yang dikemaskini, tetapi juga sebuah ciri ScreenPad baru yang dinamakan ScreenPad Plus.

Bermula dengan spesifikasi dalaman komputer riba ini, ASUS ZenBook Pro Duo ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel sehingga Intel Core i9 generasi kesembilan, memori DDR4 sehingga 32GB, dan juga storan SSD PCIe sebesar 1TB.

ASUS ZenBook Pro Duo ini dilengkapi dengan paparan OLED 15.6 inci dengan resolusi 4K yang juga merupakan paparan sesentuh, dan menggerakkannya dari segi grafik ialah sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 Max-Q.

Jika ASUS ZenBook Pro tahun lepas hadir dengan ciri ScreenPad melalui pad sesentuh, ASUS ZenBook Pro Duo pula hadir dengan ciri ScreenPad Plus, iaitu paparan lebar bersaiz 14 inci yang berfungsi sebagai skrin kedua komputer riba ini. Ia mempunyai resolusi 4K (3840×1010) yang boleh digunakan sebagai lanjutan paparan asal, ataupun sebagai skrin kedua yang mempunyai perisiannya tersendiri melalui ciri ScreenXpert.

ASUS telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat perisian seperti Microsoft, Adobe dan sebagainya untuk memastikan bahawa ciri ScreenPad Plus ini bukanlah sebuah gimik yang tidak berguna.

Bagi mereka yang inginkan peranti yang lebih padat, ASUS turut melancarkan ASUS ZenBook Duo, sebuah laptop 14 inci dengan ciri ScreenPad Plus yang sama, tetapi mempunyai spesifikasi dalaman yang sedikit lebih rendah berbanding dengan ASUS ZenBook Pro Duo.

Menguasakannya ialah CPU Intel Core i7 generasi kesembilan, memori DDR4 sehingga 16GB, storan SSD PCIe sehingga 1TB, dan juga kad grafik NVIDIA GeForce MX250.

Paparan 14 inci ASUS ZenBook Duo pula mempunyai resolusi Full HD, manakala paparan ScreenPad Plus model ini bersaiz 12.6 inci dengan resolusi Full HD.

Kedua-dua komputer riba ini juga mempunyai sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi 6, yang menjanjikan kelajuan penghantaran data setinggi 9.6Gbps.

Apa yang menarik bagi kami ialah bagaimana rekaan ASUS ZenBook Pro Duo ini kelihatan seperti sebuah ASUS ROG Zephyrus yang diubahsuai untuk menjadi sebuah komputer riba produktiviti. Buat masa ini, tanda harga dan tarikh pelancaran komputer riba ini masih belum diumumkan lagi.


TIPS & ULASAN