Projek kereta api halaju tinggi Malaysia tertangguh selepas pertukaran kerajaan tahun lalu. Ia dibatalkan tetapi kemudian disambung semula dengan sasaran memulakan operasi pada tahun 2031, lewat lima tahun dari sasaran asal 2026. Tidak seperti Malaysia, China sudah mempunyai sistem rel halaju tinggi sejak 2008 dan kini mereka ingin maju setapak lagi dengan pengenalan sistem kereta api maglev berkelajuan tinggi.
Prototaip kereta api apungan magnet (maglev) telah diperlihatkan minggu lalu oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC). Ia mensasarkan kelajuan mencecah 600 km/j yang menghubungkan Beijing dan Shanghai dalam masa hanya 3.5 jam. Ini ialah projek maglev jarak panjang pertama China. Sebelum ini kereta api maglev dengan kelajuan 431 km/j menyabungkan Shanghai dengan lapangan terbang antarabangsa Pudong.