Cari @ Amanz

Pada 16 Mei, Oppo telah melancarkan model pertama Oppo Reno di Malaysia. Ia dijana dengan Snapdragon 710, memori 6GB RAM, storan dalaman 256GB, skrin 6.4-inci AMOLED dan juga sistem kamera pop-naik yang kelihatan seakan sirip ikan yu. Namun, apa yang ramai ingin lihat hadir ke pasaran Malaysia adalah Oppo Reno 10x Zoom.

Ini kerana, Oppo telah mengacah peranti ini sejak MWC Barcelona 2019 lagi. Kemudian ia adalah sebuah peranti mercu dan peminat Oppo tidak lagi mempunyai pilihan terhad kepada peranti kelas pertengahan. Hari ini, Oppo Reno 10x Zoom secara rasminya dilancarkan di Malaysia. Peranti ini mempunyai skrin lebih besar dari Oppo Reno biasa, iaitu 6.6-inci OLED dengan nisbah skrin-ke-badan 93.1% dengan perlindungan Gorilla Glass 6. Rekaan peranti yang menawam ini tidak mustahil kerana takuk untuk kamera swafoto telah digantikan dengan sistem pop-naik bersudut 11 darjah.

Kamera swafotonya adalah 16MP dan kamera utama adalah sisitem tri-lensa 48MP + 13MP + 8MP, terdapat pengimbas cap bawah skrin, bateri 4065mAh dengan sistem pengecasan pantas VOOC 3.0, menjalankan Color OS serba baharu dan yang paling penting – ia dijana Snapdragon 855. Untuk pasaran Malaysia, Oppo membawa masuk unit 8/256 GB sahaja dengan dua pilihan warna.

Harga jualan rasmi Oppo Reno 10x Zoom adalah RM3399 dan ia akan dijual bermula 27 Julai, melaui kedai-kedai rasmi, pengedar sah Oppo dan juga laman membeli belah seperti Lazada atau Shopee. Bagi pembeli awal, anda akan menerima gimbal dan juga jaminan perlindungan skrin bernilai RM877 secara percuma.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd